ARTIKEL

Hampir 500 petugas kesihatan terkorban sejak serangan Israel ke atas Gaza

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

RAMALLAH: Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan hampir 500 petugas kesihatan terbunuh dan ratusan lagi cedera sejak Israel menyerang Gaza pada Oktober tahun lepas.

Agensi Berita dan Penerangan Palestin (WAFA) melaporkan bahawa kementerian itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Sabtu menyatakan lebih daripada 310 petugas ditawan dan 130 ambulans dimusnahkan oleh tentera pendudukan Israel di Gaza.

Selain itu, ia berkata kemudahan kesihatan dan kakitangannya di Tebing Barat menghadapi lebih daripada 340 serangan tentera Israel sepanjang tempoh yang sama.

Kementerian menegaskan bahawa serangan yang sengaja disasarkan terhadap infrastruktur perubatan oleh tentera pendudukan Israel menghalang akses rakyat kepada perkhidmatan kesihatan penting.

Keadaan yang semakin teruk berkaitan air dan sanitasi, ditambah pula dengan kepadatan penduduk, menyebabkan peningkatan penyakit yang boleh dicegah dan kematian pramatang, menurut kenyataan itu.

“Gaza kini berdepan bencana kesihatan awam akibat sumber air yang tidak selamat dan kekurangan keperluan asas kebersihan bagi lebih daripada 1.7 juta individu yang dipaksa meninggalkan kediaman mereka,” katanya.

Kenyataan itu turut menyatakan soal kekurangan kritikal petugas kesihatan dan bekalan perubatan, termasuk anestesia dan antibiotik yang menyebabkan penyedia perkhidmatan kesihatan bergelut untuk menyelamatkan nyawa.

Kementerian itu menyeru bantuan kemanusiaan tanpa syarat bagi menangani kekurangan yang teruk serta membantu dalam pemindahan mangsa yang cedera untuk menerima rawatan perubatan menyelamatkan nyawa di luar negara.
— BERNAMA

BERITA LAIN

BERITA TERBARU