ARTIKEL

Kedai-kedai di pusat bandar Sibu menutup premis mereka ekoran gangguan bekalan air yang berlaku semalam hingga tengah hari tadi.

Hampir semua premis perniagaan di Sibu ditutup hari ini ekoran bekalan air terputus semalam

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SIBU: Selepas bekalan air terputus selama 15 jam di sini bermula malam tadi (Selasa), menurut anggaran masa bagi kerja baik pulih paip pecah yang dimaklumkan menerusi pemberitahuan yang dikeluarkan sebelum itu, banyak premis makanan dan kedai kopi di pusat bandar ini menutup operasi mereka hari ini.

Tinjauan secara rambang di pusat bandar ini mendapati hampir keseluruhan premis ditutup dan memilih untuk tidak beroperasi.

Terdahulu dalam notisnya, Lembaga Air Sibu (LAS) memaklumkan bahawa gangguan air akan berlaku di 70 peratus kawasan di sini dengan anggaran lebih 30,000 isi rumah terjejas.

Ini susulan daripada kerja pembaikan paip pecah di persimpangan Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce/Jalan Salim (Farley).

Pengerusi Persatuan Pemilik Kedai Kopi dan Restoran Sibu, Tong Ing Kok berkata, beliau menganggarkan kira-kira 50 peratus kedai kopi dan premis makanan di pusat bandar ini ditutup.

“Disebabkan gangguan bekalan air bermula jam 10 malam tadi, saya fikir pemilik premis memilih untuk tidak menjalankan operasi mereka hari ini kerana pada mulanya LAS memaklumkan bahawa gangguan akan berlaku selama 15 jam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, beberapa pemilik kedai telah pergi ke kedai kopi mereka pada awal pagi tetapi memutuskan untuk tidak membuka perniagaan selepas mendapati bekalan air masih belum disambung semula.

Memandangkan kawasan terjejas kali ini agak luas, ujar Ing Kok, pemilik premis memilih untuk tidak menjalankan operasi mereka.

“Masalah ketiadaan air ini, seperti yang kita sedia maklum, memang menyulitkan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang menjalankan aktiviti menggunakan air.

“Gangguan bekalan air bermula sejak jam 10 malam tadi, dan ini memberi cabaran kepada pengusaha kedai kopi dan premis makanan,” katanya.

Ing Kok bagaimanapun tidak menolak kemungkinan bahawa perkara ini telah menyebabkan pemilik premis perniagaan menanggung kerugian.

Sementara itu, keadaan beransur-ansur pulih berperingkat-peringkat selepas jam 10 pagi.

Jurucakap pihak kontraktor LAS berkata pihaknya berjaya memperbaiki paip yang pecah lebih awal disebabkan cuaca baik.

“Nasib baik kerana hari tidak hujan pada malam tadi, kalau tidak saya rasa tempoh kerja baik pulih akan mengambil masa 15 jam seperti yang dianggarkan oleh pihak LAS seperti dalam notis dikeluarkan mereka sebelum ini.

“Jika hujan berlaku sudah pasti banyak kerja akan dilakukan seperti membuang air yang bertakung dengan mengepamnya keluar,” katanya.

Setakat petang tadi, kedai kopi dan premis makanan di pusat bandar ini masih tidak membuka operasi mereka walaupun bekalan air sudah dipulihkan.

BERITA LAIN

Generasi masa hadapan harus dilibatkan dengan STEM

KUCHING: Generasi masa hadapan harus dilibatkan dengan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) pada usia muda. Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri

BERITA TERBARU

Generasi masa hadapan harus dilibatkan dengan STEM

KUCHING: Generasi masa hadapan harus dilibatkan dengan bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) pada usia muda. Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Seri