ARTIKEL

OPERASI... Sekitar Operasi Bersepadu E-Cigarette yang dilaksanakan di Sarawak baru-baru ini.

Hampir separuh premis e-cigarette di Sarawak ingkar undang-undang

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Hampir separuh daripada 30 premis yang diperiksa menerusi Operasi Bersepadu E-Cigarette Sarawak disyaki terlibat dalam aktiviti penjualan dan pengedaran peranti rokok elektronik yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang dengan nilai rampasan mencecah RM160,717.60.

Komander Briged Sarawak Pasukan Gerakan Am (PGA) SAC Lim Bak Phai berkata operasi yang dijalankan secara serentak di seluruh Sarawak pada 15 Julai lalu bertujuan untuk membanteras aktiviti penjualan dan pengedaran peranti rokok elektronik yang menyalahi peraturan, di samping memastikan pematuhan terhadap undang-undang yang berkuat kuasa.

“Operasi bersepadu berkenaan dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) membabitkan penyertaan 88 pegawai dan anggota PGA, 58 pegawai KKM serta 15 pegawai PBT,” katanya dalam satu kenyataan.

Lim menambah hasil pemeriksaan mendapati 14 daripada 30 premis terbabit disyaki menjalankan aktiviti penjualan dan pengedaran peranti rokok elektronik yang tidak mematuhi peruntukan undang-undang, selain menjual pelbagai jenis rokok yang dipercayai melanggar syarat permit premis.

Beliau berkata, premis yang disyaki melakukan kesalahan itu membabitkan masing-masing satu di Padawan dan Lundu, lima di Betong, tiga di Mukah, serta masing-masing dua di Sibu dan Miri.

“Dalam operasi sama, seramai 32 individu yang terdiri daripada pekerja premis turut diperiksa bagi membantu siasatan serta memastikan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan.

“Pemeriksaan itu turut membawa kepada rampasan sebanyak 1,279 unit peranti vape, 19.24 liter cecair vape serta pelbagai jenis rokok yang dipercayai dijual secara tidak mematuhi peraturan,” katanya.

Beliau berkata keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM160,717.60, sekali gus menggambarkan skala aktiviti penjualan dan pengedaran produk rokok elektronik yang disyaki menyalahi undang-undang di beberapa daerah di Sarawak.

Menurutnya, operasi bersepadu itu dilaksanakan di Kuching, Padawan, Bau, Lundu, Betong, Mukah, Sibu, Miri dan Limbang sebagai sebahagian daripada usaha berterusan untuk memperkukuh penguatkuasaan terhadap penjualan dan pengedaran produk rokok elektronik di negeri ini.

“Briged Sarawak PGA akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan bersepadu bersama KKM dan PBT dari semasa ke semasa. Pihak kami menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terbabit dalam aktiviti penjualan dan pengedaran rokok elektronik secara tidak sah,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU