KUCHING: Seramai 60 ketua keluarga kurang berkemampuan sekitar kawasan Stakan menerima sumbangan bakul makanan sempena sambutan ulang tahun ke-10 Stesen Minyak PETRONAS Stakan, pagi tadi.
Majlis penyerahan bantuan itu dianjurkan oleh stesen tersebut yang dikendalikan Syarikat Kos Synergy, dengan kerjasama Pusat Khidmat DUN Stakan.
ADUN Stakan, Datuk Hamzah Brahim yang hadir selaku tetamu kehormat berkata, penerima sumbangan terdiri daripada penduduk enam kampung iaitu Kampung Bukit Berangan, Sungai Pendam, Sungai Empit, Merdang Gayam, Pangkalan Kuap dan Stakan Melayu.


“Pada hari ini (semalam), kita mengadakan satu majlis di mana sumbangan diberikan kepada 60 orang penduduk dalam bentuk barangan makanan asas untuk keperluan mereka.
“Bakul makanan bernilai RM100 setiap satu itu mengandungi beras, minyak masak, gula, makanan dalam tin dan mi segera,” katanya pada majlis berkenaan.
Sementara itu, Pengurus Stesen PETRONAS Stakan, Khairunnizan Othman berkata, program berkenaan bukan sahaja bertujuan membantu mereka yang memerlukan, malah meningkatkan kesedaran mengenai tanggungjawab sosial dalam kalangan masyarakat.
Melalui kerjasama ini, beliau berharap dapat menginspirasi lebih ramai pihak untuk turut serta dalam aktiviti khidmat masyarakat.
Dalam majlis sama, Hamzah turut dimaklumkan mengenai pelaksanaan kempen pengumpulan minyak masak terpakai yang dijadualkan berlangsung pada 27 Julai depan, sebagai satu lagi inisiatif stesen itu untuk membantu penduduk menjana pendapatan sampingan.
Majlis turut dihadiri Pegawai Daerah Samarahan, Ahmad Abdul Razal, dan Pengurus Jualan Runcit PETRONAS Wilayah Sarawak, Joseline Adong Francis.
Acara diakhiri dengan upacara memotong kek sempena ulang tahun ke-10 operasi stesen berkenaan.



