ARTIKEL

Sumber: Facebook Hamzah Brahim Official

Hamzah sokong penuh penganjuran Sirkit Regata Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim menyambut baik pengumuman Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berhubung cadangan penganjuran Sirkit Regata Sarawak mulai tahun hadapan yang disifatkan mampu memartabatkan tradisi lumba perahu.

Menurutnya, regata bukan sekadar perlumbaan perahu tetapi ia adalah tradisi turun-temurun yang mendekatkan masyarakat tanpa mengira bangsa dan agama.

“Saya sendiri pernah menyuarakan cadangan agar regata ini diberi perhatian lebih tersusun kerana saya percaya ia mampu menjadi pemangkin ekonomi sekali gus memberi peluang kepada peniaga kecil serta mengangkat nama Sarawak di mata pelancong luar,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Tambahnya, sebagai peminat tegar lumba perahu, beliau juga mempunyai pasukan sendiri, iaitu Pasukan Perahu Udak.

“Pengalaman bersama pasukan ini memberikan saya keyakinan bahawa dengan sokongan Kerajaan Sarawak, regata boleh berkembang lebih jauh dan menjadi sukan rakyat yang benar-benar membanggakan kita semua.

“Sejarah juga membuktikan bahawa regatta di Sarawak telah bermula seawal tahun 1872 pada era pemerintahan Rajah Charles Brooke, menjadikannya antara acara sukan tradisional tertua yang terus hidup hingga hari ini,” ujarnya sekali gus mengatakan tradisi itu perlu terus diperkukuh agar kekal relevan dengan zaman.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Sarawak boleh mengambil contoh daripada kejayaan Pacu Jalur di Riau, Sumatera, Indonesia yang telah menjadikan negara itu terkenal di mata dunia melalui sukan air tradisional mereka.

Beliau menegaskan, Sirkit Regata Sarawak berpotensi menarik penyertaan pasukan dari negara jiran, khususnya Kalimantan dan Brunei sekali gus mewujudkan hubungan serantau yang lebih erat serta meningkatkan daya tarikan acara ini di peringkat antarabangsa.

“Bagaimanapun, memandangkan kos penganjuran sukan ini agak tinggi, saya turut menyeru agar syarikat-syarikat korporat dan pihak swasta tampil memberi sokongan serta sumbangan.

“Kerjasama strategik ini bukan sahaja meringankan beban penganjur, malah turut memperkukuh tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam memartabatkan warisan budaya bangsa,” katanya.

Beliau menyatakan keyakinan bahawa dengan Sirkit Regata itu juga, negeri ini akan melangkah ke tahap baharu dalam memartabatkan sukan air tradisional, selain menjadikannya tarikan pelancongan bertaraf antarabangsa yang mampu meningkatkan imej Sarawak di persada global.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Premier atas pengumuman sirkit regata ini,” jelasnya lagi.

Sebelum ini, Abang Johari mengumumkan Sarawak akan memperkenalkan sirkit regata sebagai pendekatan baharu yang berpotensi menjana pendapatan kepada penduduk setempat termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menurutnya, regata yang merupakan sukan budaya kini sudah menjadi trend baharu di Sarawak sejak tiga tahun lalu.

Beliau juga menyatakan, dengan penganjurkan sirkit regata itu, belanjawan negeri bagi tahun 2026 perlu diubah suai kerana peruntukan bagi penganjuran acara itu harus diambil kira.

BERITA LAIN

Wilfred cadang laluan PR untuk pakar strategik Sarawak

KUCHING: Laluan taraf pemastautin tetap (PR) khusus bagi tenaga pakar strategik dicadangkan untuk menarik kepakaran antarabangsa dalam industri utama Sarawak, termasuk hidrogen hijau, kecerdasan buatan

Tebedu berpotensi jadi pusat ekonomi sempadan

KUCHING: Tebedu berpotensi berkembang sebagai pusat ekonomi sempadan yang menghubungkan Sarawak dengan Kalimantan Barat, Indonesia, menerusi perdagangan rentas sempadan, logistik dan pemasaran hasil pertanian. Ahli

BERITA TERBARU

Wilfred cadang laluan PR untuk pakar strategik Sarawak

KUCHING: Laluan taraf pemastautin tetap (PR) khusus bagi tenaga pakar strategik dicadangkan untuk menarik kepakaran antarabangsa dalam industri utama Sarawak, termasuk hidrogen hijau, kecerdasan buatan

Tebedu berpotensi jadi pusat ekonomi sempadan

KUCHING: Tebedu berpotensi berkembang sebagai pusat ekonomi sempadan yang menghubungkan Sarawak dengan Kalimantan Barat, Indonesia, menerusi perdagangan rentas sempadan, logistik dan pemasaran hasil pertanian. Ahli