SIMANGGANG: Kenderaan yang ditemukan terjatuh ke dalam Sungai Batang Lupar di Jalan Skait disahkan milik seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak Ahad.
Ketua Polis Daerah Sri Aman, Superintendan Dennis Bunyam mengesahkan kereta jenis Perodua Alza berkenaan adalah milik Celsus Khaw Choon Seng, 63, yang beralamat di Batu Kawa.

“Siasatan awal mendapati kereta tersebut didaftarkan atas nama Celsus Khaw Choon Seng dan tiada mangsa ditemukan di dalam kenderaan itu semasa ia dijumpai,” katanya kepada Suara Sarawak hari ini.
Mengulas lanjut mengenai siasatan awal, Dennis memberitahu bahawa Celsus keluar dari rumah seorang diri menuju ke Sri Aman dengan memandu kenderaan Perodua Alza berwarna putih bagi urusan peribadi pada jam 4 petang Ahad.
“Waris keluarga telah cuba menghubungi mangsa namun sehingga laporan polis dibuat, mangsa masih gagal dikesan.
“Susulan penemuan kenderaan tersebut, kami telah menggerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) dengan kerjasama Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sri Aman serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sri Aman,” ujarnya.
Terdahulu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sri Aman menerima satu laporan berhubung kehilangan lelaki warga emas berkenaan pada jam 2.33 petang tadi.
Kali terakhir dilihat, Celsus berpakaian baju-T lengan pendek, berseluar panjang berwarna gelap dan memakai selipar jenama Brook.
Sehubungan itu, polis memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi Ketua Polis Balai Sri Aman, ASP Leonard Mallaca di talian 019-7509390 atau Bilik Gerakan IPD Sri Aman di talian 083-322035.

