Harap proses vaksinasi berjalan lancar

DALAT: Pada 27 Februari ini proses vaksinasi akan mula dilaksanakan di Sarawak oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dan Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak. (JKNS).

Justeru Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, melalui peruntukan Kerajaan Sarawak proses vaksinasi tersebut diharap berjalan lancar.

“Melalui vaksin ini difahamkan setiap orang perlu disuntik dua kali, bagi membolehkan ia  merangsangkan imuniti badan. “Proses ini berterusan sehingga petengahan tahun tertakluk kepada keperluan,” katanya dalam lawatannya ke Dalat Selasa.

Justeru katanya, JKNS kini sedang menjalankan proses penerangan maklumat serta taklimat kepada orang ramai mengenai langkah vaksinasi ini.

“Difahamkan kini ada pihak yang bersetuju mengambil vaksin ini  dan ada yang tidak bersetuju, malah ada juga kurang pasti dengan vaksin berkenaan.

“Hal ini kerana banyak maklumat mengenai vaksinasi  di luar sana ketika ini namun kesahihan maklumat berkenaan masih diragui dan was-was, “Dianggarkan 2,8 juta penduduk Sarawak akan menerima vaksin ini, maka dengan itu kita dapat wujudkan sebuah komuniti yang boleh melawan virus ini pada satu tahap nanti,” jelasnya lagi.

Beliau yang juga Adun Dalat menjelaskan, adanya penerangan oleh kakitangan kesihatan ini tanggapan yang salah mengenai vaksin berkenaan dapat diperbetulkan sebagaimana diumumkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) dari semasa ke semasa.

Fatimah menghargai segala sumbangan tenaga yang diberikan oleh petugas barisan hadapan, sukarelawan dan penduduk kampung yang bersama-sama membantu dalam urusan pengagihan bantuan makanan kepada penduduk yang terjejas Covid-19.

“Pejabat Kebajikan Masyarakat Bahagian Mukah menyalurkan bantuan makanan kering kepada 603 keluarga melibatkan 2,714 penduduk di kawasan Kampung Sungai Ud dan Kampung Sungai Ud Hilir Dalat.

“Terima kasih kepada semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam membantu membungkus, mengedar, mengangkat 5,428 bungkusan makanan kering bernilai RM1.616 juta kepada  penduduk yang terkesan dalam tempoh sekatan pergerakan diperketatkan ini,” ujarnya.

Fatimah berharap Covid-19 dapat diputuskan rantaiannya dengan garis panduan terus dipatuhi penduduk Dalat dan sekitar.