ARTIKEL

CERIA... Harden bersama Kadim dan peserta kursus pada Perasmian Bengkel Kebolehpasaran Graduan dan Kesiapsiagaan Industri di Hotel Raia, hari ini. GAMBAR: GHAZALI BUJANG

Harden: Graduan perlu penempatan berstruktur sebelum masuki pasaran kerja

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sebahagian besar pelajar ijazah perlu menjalani penempatan berstruktur serta dipantau sebagai sebahagian program bagi memastikan mereka mendapat pendedahan dunia sebenar sebelum memasuki pasaran kerja.

Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Datuk Francis Harden Hollis berkata, penganjuran Bengkel Kebolehpasaran Graduan dan Kesiapsiagaan Industri amat bertepatan kerana selari dengan usaha kementeriannya menubuhkan rangka kerja penempatan industri menyeluruh di Sarawak.

MANDAT… Harden menyampaikan ucapan pada Bengkel Kebolehpasaran Graduan dan Kesiapsiagaan Industri di Hotel Raia, hari ini. GAMBAR: GHAZALI BUJANG

“Melalui bengkel ini, perbincangan akan menetapkan Portal Penempatan Berpusat bagi padanan pelajar-industri yang dikendalikan bersama universiti dan dipantau oleh MEITD,” katanya ketika merasmikan bengkel anjuran Kolej Universiti I-Cats dan MEITD di Hotel Raia, di sini, hari ini.

Beliau menegaskan bengkel itu tidak boleh terhad kepada perbincangan semata-mata, sebaliknya perlu menghasilkan keputusan konkrit yang boleh dilaksanakan dengan sokongan tanggungjawab jelas, garis masa serta mekanisme pemantauan.

“Saya menjangkakan perbincangan hari ini akan membawa kepada penubuhan Majlis Universiti–Industri Sarawak (SUIC) sebagai platform tetap maklum balas industri yang berstruktur serta penjajaran dasar.

“Selain itu, turut dibincangkan mekanisme semakan kurikulum bagi memastikan input industri sentiasa diterapkan dalam reka bentuk dan penyampaian akademik.

“Ingin saya tegaskan bahawa ini bukan sekadar cadangan tetapi arahan, sejajar dengan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kementerian sebagai panduan hala tuju pendidikan tinggi, latihan teknikal dan pembangunan bakat di Sarawak.

“Sebagai pemegang amanah kepada saluran bakat masa depan negeri, universiti dan rakan industri mesti menunjukkan kemajuan yang boleh diukur ke arah pencapaian matlamat ini,” jelasnya.
Harden turut menekankan aspek kebolehpasaran graduan, dengan menegaskan Sarawak perlu memperkukuh peluang pekerjaan kepada semua lepasan institusi.

“Pencapaian kadar kebolehpasaran 96 peratus graduan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) pada Oktober 2024 amat membanggakan kerana membuktikan latihan berasaskan industri mampu melahirkan bakat bernilai.

“Menjelang 2025, sasaran kita ialah meningkatkan 20 peratus pendaftaran TVET dan 40 peratus pendaftaran aliran sains, selain mengurangkan kadar pengangguran negeri sebanyak 1.2 mata peratus, supaya lebih ramai belia dapat bekerja serta menyumbang kepada ekonomi,” ujarnya.

Beliau turut menekankan kepentingan pembelajaran sepanjang hayat dan peningkatan kemahiran, yang memerlukan universiti serta penyedia latihan menyediakan laluan fleksibel dan inklusif bagi menyokong pekerja daripada graduan baharu hingga profesional berpengalaman.

Katanya, daya saing global juga penting dengan memposisikan institusi pendidikan Sarawak untuk meraih akreditasi antarabangsa, sekali gus meningkatkan keterlihatan negeri dan memastikan graduan berdaya saing di dalam serta luar negara.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU