ARTIKEL

Harga minyak sawit tulen turun lagi

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KOTA SAMARAHAN: Harga minyak masak sawit tulen yang dibungkus di dalam botol sekali lagi diturunkan berkuat kuasa pada 8 November hingga 7 Disember ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kawalan harga tersebut dilaksanakan mengikut kaedah harga siling bergerak berdasarkan purata harga minyak sawit mentah dunia.

“Harga runcit maksimum bagi minyak masak sawit tulen dalam botol melibatkan tempoh tersebut adalah RM6.90 bagi botol 1 kilogram (kg), RM13.30 (2 kg), RM19.60 (3 kg) dan RM30.90 (5 kg).

Poster harga minyak KPDNHEP.

“Kerajaan menerusi KPDNHEP telah menetapkan harga runcit maksimum terkini untuk minyak masak sawit tulen yang dibungkus dalam botol di bawah Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penentuan Harga Maksimum Bagi Minyak Masak) 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Peranti Siswa Keluarga Malaysia dan Penyampaian Sumbangan “Food Bank” UiTM Cawangan Sarawak di Dewan Jubli UiTM, dekat sini, hari ini.

Tambahnya, mana-mana pihak yang menjual melebihi harga maksima boleh diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dan boleh dikenakan penalti.

“Individu boleh didenda oleh mahkamah sehingga RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya manakala syarikat boleh didenda sehingga RM500,000,” tegasnya.

Dalam hal berkaitan, KPDNHEP turut menggalakkan pengguna menjadi mata dan telinga kepada kerajaan untuk menyalurkan maklumat berkaitan pelanggaran undang-undang membabitkan harga runcit minyak masak sawit tulen di pasaran secara rasmi melalui Whatsapp (019-2794317/019-8488000) atau portal e-aduan.kpdnhep dan lain-lain.

 

BERITA LAIN

BERITA TERBARU