Hargai skuad Sarawak FA

WALAUPUN akan beraksi dalam Liga M3 2020, pasukan Sarawak FA tetap mempunyai nilai tersendiri yang wajar
untuk dihargai dan dijaga sebaik mungkin.

Walau dalam liga mana pun mereka beraksi, Sarawak FA adalah wakil sejati daripada Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), pasukan yang pernah menjulang nama Bumi Kenyalang suatu ketika dahulu.

Pasukan ini pernah mencipta sejarah dengan beberapa gelaran seperti Piala FA 1992, Piala Liga Perdana 1997, Piala Sumbangsih 1998 dan Piala Liga Perdana 2013.

Malah sejarah penyertaan ke Liga Malaysia pada 1979 juga bermula dengan pasukan ini.

Tentunya kita masih ingat bagaimana skuad Sarawak memberi impak dan drama ‘jatuh bangun’ dalam Liga Malaysia sejak 1988 hinggalah 2013. Daripada zaman terjun dari Jambatan Gantung Satok Awang Mahyan Awang Muhammad hingga ke era digital Robert Alberts.

Jasa mereka bersama-sama Alan Vest dan Jalil Ramli dalam menjulang nama Sarawak akan terus dikenang.

Kita juga tidak lupa dengan pengorbanan barisan pemain elit tempatan seperti Mohd Ali Sapiee, Pengiran Bala,
Burhaniza Abu Bakar, Daud Hamid, Zapri Manai, Roslan Ismail, Jalil Ramli, Dahlan Matusin, Zaidel Sakup, Bobby
Pian, Ibrahim Mantali, Ramos Sari, Ramles Sari, Affendi Julaihi, Peter Kusai, Louis Jakai, Razak Ismail, Safri Amit,
Joseph Kallang Tie, Ahsri Chuchu, Hairol Mokhtar, Shahrol Saperi, Zamri Morshidi dan beberapa pemain lagi.

Namun malang buat pasukan musim 2019 apabila terjerumus ke liga amatur 2020, setelah tewas 3-1 kepada pasu-
kan jiran, Kuching FA dalam saingan play-off November lalu.

Bagaimanapun, kegagalan terbesar ialah gagal bersaing dalam Liga Premier 2019 menyebabkan mereka berada
di tangga tercorot, pencapaian terburuk dalam tempoh 31 tahun.

Malah senario ini mendorong wujudnya Sarawak United, pasukan yang dibentuk melalui pembelian lesen daripada
kelab Selangor United yang menarik diri daripada Liga Premier 2020.

Walaupun Sarawak United berpangkalan di Kuching dan sebagai pasukan utama FAS, namun ia tetap dianggap
sebagai ‘pasukan gabungan’.

Untuk jangka masa pendek, ia mungkin sebagai langkah baik bagi menyemarakkan bola sepak Sarawak, tetapi untuk jangka panjang, Sarawak FA adalah taruhan terbaik FAS, sesuai dengan reputasi dan harga diri.

Seperti yang dijelaskan oleh Presiden FAS, Datuk Posa Majais, Sarawak FA tidak akan diabaikan walaupun ia memainkan watak sebagai feeder team kepada pasukan Sarawak United.

Malah terdapat juga ura-ura, FAS akan menukar nama Sarawak FA kepada Sarawak B. Bagaimanapun, persoalan
yang lebih penting sekarang ini ialah siapakah pemain yang akan menyarung jersi pasukan Sarawak FA?

Adakah pasukan tersebut akan dibarisi sebahagian besar pemain muda daripada pasukan Piala Presiden dan
Piala Belia musim lalu? Atau adakah pasukan ini skuad bayangan untuk menyertai Sukan Malaysia (Sukma 2020)
di Johor?

Yang pasti, Sarawak FA perlu diberi perhatian sebaik mungkin, perlu dibentuk sekuat mungkin, dan perlu mem-
punyai visi yang jelas… iaitu naik semula ke Liga Premier 2021 atau selewat-lewatnya 2022.

Oleh itu, pasukan ini hendaklah disertai beberapa pemain handalan dan berpengalaman, di samping jurulatih berkaliber yang berupaya membantu melonjakkan semula pasukan ke tempat yang sepatutnya. Kita mahu melihat pasukan Sarawak FA tidak kekal lama dalam Liga M3.