MUKAH: Kerajaan Sarawak mencatat sejarah baharu apabila berjaya melaksanakan Ujian Penilaian Program Dwibahasa (UP-DLP) Sarawak yang melibatkan murid darjah enam di seluruh negeri selepas pemansuhan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Dr. Annuar Rapaee berkata, hari pertama ujian ini diadakan juga berjalan dengan lancar.
“Alhamdulillah, kehadiran murid yang menduduki ujian ini di sekolah yang kita lawati juga 100 peratus.
“Setakat ini, tiada yang tercicir atau tidak hadir, tetapi kita akan melihat data seluruh Sarawak untuk kehadiran UP-DLP ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan pelaksanaan UP-DLP di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Tellian dan SK Kampung Petanak, di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, katanya, ujian ini akan diteruskan pada masa akan datang.
Jelasnya, Sarawak juga akan mengadakan ujian untuk Tingkatan 3 bagi kohort yang sama iaitu pada 2028 kelak.
Sehubungan itu, Annuar memberitahu, objektifnya adalah untuk menilai kemajuan DLP Sarawak yang menggunakan bahasa Inggeris untuk subjek Matematik dan Sains di sekolah rendah yang kini memasuki tahun enam.
“Kita hendak menilai prestasi murid-murid di sekolah. Sekiranya mereka mempunyai prestasi kurang memuaskan, kita boleh menjalankan strategi untuk membantu sekolah tersebut.
“Ujian ini juga akan digunakan untuk kemasukan ke Sekolah Menengah Antarabangsa Yayasan Sarawak.
“Seterusnya, kita akan berkongsi keputusan ujian ini dengan pihak Kementerian Pendidikan (KPM) dan ia digunakan untuk penilaian Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA),” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut berkongsi cabaran pelaksanaan ujian tersebut iaitu logistik bagi sekolah rendah yang berada di kawasan pedalaman.
Katanya lagi, agak sukar untuk menghantar soalan dan jawapan ke kawasan tersebut.
“Kerahsiaan dan integriti ujian ini perlu dijaga sebaik mungkin walaupun terdapat cabarannya,” tambahnya.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine dan Pegawai Pendidikan Daerah Mukah, Awang Yusri Awang Adeni.






