SIBU: Pelaksanaan pembangunan semula Bukit Assek seluas 820 ekar yang dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 15 tahun perlu mempunyai fasa dan garis masa yang jelas.
ADUN Bukit Assek, Chieng Jin Ek berkata, keutamaan perlu diberikan kepada penambahbaikan infrastruktur mendesak dan langkah mitigasi banjir sepanjang tempoh pelaksanaan projek itu.
“Saya menggesa kerajaan menetapkan fasa pelaksanaan dan garis masa yang jelas, dengan mengutamakan penambahbaikan infrastruktur mendesak serta langkah mitigasi banjir.
“Dengan komitmen berterusan kerajaan, komunikasi telus dan penyertaan awam yang bermakna, saya yakin Pelan Pembangunan Semula Bukit Assek akan menjadi pemangkin transformasi ekonomi Sibu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (2027), 2026 dan Usul Merujuk Resolusi Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Menurut Chieng, kelulusan akhir pelan induk oleh Pihak Berkuasa Perancang Negeri pada 28 Januari 2026 merupakan perkembangan penting bagi projek berkenaan.
“Pembangunan semula itu merangkumi perancangan bersepadu melibatkan mitigasi banjir, sistem saliran, pengangkutan, perumahan, pembangunan komersial dan kawasan hijau,” ujarnya.
Beliau turut menggesa Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) meneruskan libat urus dengan orang ramai serta mempertimbangkan penyediaan ruang pameran tetap bagi membolehkan penduduk dan pemilik tanah mendapatkan maklumat terkini serta mengemukakan maklum balas.
“Perumahan penempatan semula mampu milik, layanan adil terhadap pemilik tanah terjejas dan perlindungan kepentingan komuniti mesti kekal sebagai keutamaan.
“Pembangunan mesti meningkatkan kualiti hidup rakyat, bukannya menambah beban kewangan mereka,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Chieng menggesa supaya penubuhan Zon Ekonomi Khas (SEZ) Sibu diterjemahkan kepada tindakan konkrit bagi merangsang pertumbuhan ekonomi bandar itu.
Menurutnya, sektor pembuatan bernilai tinggi, pemprosesan hiliran kayu, pembinaan dan pembaikan kapal, agroindustri, pemprosesan makanan, logistik serta ekonomi hijau berpotensi menarik pelaburan ke Sibu.



