SARIKEI: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Limbang bakal memiliki kompleks baharu dan pembinaannya dijadualkan pada suku ketiga tahun ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia Datuk Hasbi Hasbollah berkata pembinaan kompleks baharu ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan Kementerian Pengangkutan.
“Ini adalah antara usaha untuk menaik taraf kemudahan infrastruktur semua kompleks JPJ di seluruh negara.
“Sama seperti Sarikei, JPJ Limbang juga menghadapi situasi sama kerana mereka terpaksa menumpang di bangunan kedai dan sering berpindah-randah” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Kompleks Baharu JPJ Sarikei hari ini.
Sehubungan itu beliau turut memberitahu bahawa inisiatif tersebut amat penting dalam menyediakan persekitaran lebih selesa dan profesional kepada seluruh warga kerja JPJ.
Jelasnya ini sekali gus meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
Terdahulu JPJ Cawangan Sarikei telah melalui proses transformasi yang signifikan selaras dengan pertumbuhan masyarakat dan kemajuan infrastruktur di daerah tersebut.
Bangunan moden ini bukan sahaja meningkatkan kecekapan operasi tetapi juga simbol komitmen JPJ dalam mempertingkatkan mutu perkhidmatan awam.
Ia berjaya mencipta sejarah apabila menjadi satu-satunya pejabat JPJ di Sarawak yang dilengkapi dengan kuarters yang memberi keselesaan untuk kakitangannya.

