ARTIKEL

Hasil meningkat, alam terpelihara

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

HAMPARAN tanaman sawit yang terbentang dari Sematan hingga ke Miri menggambarkan kedudukan penting komoditi sawit dalam ekonomi Sarawak.

Namun, di sebalik barisan pokok sawit yang memenuhi kawasan sesuai untuk pertanian, masih wujud tompokan hutan, sungai dan kawasan berbukit yang menjadi habitat pelbagai spesies hidupan liar.

Persoalannya, apabila sebahagian besar kawasan sesuai untuk penanaman sudah dibangunkan, dari mana lagi pertumbuhan industri akan datang?

Bagi Pengarah Institut Biodiversiti dan Pemuliharaan Alam Sekitar (IBEC), Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) Profesor Ts. Dr. Mohd Azlan, jawapannya bukan semata-mata melalui pembukaan tanah baharu.

Sebaliknya, pertumbuhan ekonomi dan pemuliharaan alam sekitar boleh bergerak seiring sekiranya kawasan sedia ada diurus dengan lebih baik.

“Sarawak merupakan salah satu pengeluar terbesar di Malaysia dengan anggaran minyak sawit mentah (MSM) melebihi 4.5 juta tan pada tahun lepas (2025), iaitu lebih kurang 22 peratus daripada pengeluaran seluruh Malaysia.

“Dengan mengambil kira landskap Sarawak sekarang, pengeluaran sawit dan pemuliharaan biodiversiti tidak wajar dilihat sebagai persaingan kerana kedua-dua perkara ini berkait agak dekat,” katanya kepada Suara Sarawak semalam.

Menurut Prof. Azlan, kebanyakan kawasan yang sesuai untuk penanaman sawit telah dibangunkan dan boleh dikatakan tepu.

Keadaan itu menyebabkan ladang sawit kini menjadi sebahagian daripada pemandangan biasa sepanjang laluan Pan Borneo manakala kebanyakan kawasan terlindung di Sarawak pula sudah dikelilingi ladang.

Katanya, keadaan tersebut menjadikan kawasan hijau yang masih ada perlu diurus secara baik dan mampan bagi mengurangkan tekanan terhadap kawasan perlindungan.

Hutan masih memainkan peranan

“Keadaan geografi Sarawak secara tidak langsung membantu mengekalkan sebahagian kawasan hutan dalam lingkungan ladang.

“Topografi berbukit, curam dan berbatu serta tanah yang kurang sesuai menyebabkan tidak semua kawasan dapat ditanam secara berterusan.

“Kawasan yang tidak sesuai dibangunkan itu lazimnya dikekalkan sebagai kawasan pemuliharaan atau Nilai Pemuliharaan Tinggi (HCV), sekali gus mewujudkan banyak tompokan hutan di seluruh negeri,” katanya.

Beliau menambah, walaupun fragmen tersebut tidak dapat menyamai nilai hutan dara, ia masih mempunyai fungsi penting.

“Walaupun ada sesetengah pihak menyatakan hutan sebegini tidak cukup bagus untuk pemuliharaan biodiversiti dengan membuat perbandingan dengan hutan primer, tompokan hutan dalam konteks ini dapat memulihara sebahagian daripada biodiversiti yang pernah wujud sebelum penanaman sawit.

“Justeru, kepentingan hutan seperti ini untuk perlindungan hidupan liar dan biodiversiti secara amnya tidak dapat diperlekehkan,” katanya.

Beliau berkata, keadaan hutan asal tidak mungkin dikembalikan sepenuhnya dalam kawasan yang telah dibangunkan.

Oleh itu, katanya, usaha memelihara habitat yang masih ada menjadi penting, termasuk dengan mengintegrasikan kawasan HCV dan kawasan pemuliharaan berasaskan kawasan terurus (OECM) ke dalam konsesi tanpa menghentikan kegiatan ekonomi.

“OECM merujuk kawasan tanah atau laut yang bukan taman negara tetapi diurus dengan baik oleh komuniti tempatan atau pihak swasta sehingga mampu menyumbang kepada pemuliharaan biodiversiti,” jelas beliau.

Prof. Azlan berkata, usaha itu akan menjadi lebih berkesan sekiranya fragmen hutan dapat dihubungkan dengan kawasan terlindung melalui jaringan habitat.

Nilai sebenar tidak semestinya pada keluasan

Dengan keluasan tanaman sawit Malaysia kini sekitar 5.7 juta hektar, Prof. Azlan berkata, industri secara amnya sudah menghampiri tahap maksimum pembangunan fizikal.

Sarawak pula, katanya, mempunyai kira-kira 1.67 juta hektar tanaman sawit dan secara amnya telah menghentikan pembangunan industri berkenaan dalam skala besar secara komersial.

“Maka, tumpuan selepas ini perlu diberikan kepada apa yang boleh dihasilkan daripada kawasan sedia ada.

“Sasaran pertumbuhan sepatutnya dapat dicapai menerusi pertanian presisi, mekanisasi, kecerdasan buatan (AI) dan klon sawit berhasil tinggi.

“Sarawak perlu beralih daripada pertumbuhan meluas, iaitu pembukaan tanah, kepada penghasilan secara intensif,” katanya.

Peningkatan mutu buah tandan segar (BTS) sehektar serta penggunaan bahan tanaman berkualiti tinggi, menurutnya, mampu menjana pertumbuhan ekonomi tanpa mengorbankan fragmen hutan asli.

Pendekatan itu, katanya lagi, turut membuka ruang kepada teknologi memainkan peranan lebih besar dalam menentukan produktiviti ladang.

Apa yang hidup di sebalik pokok sawit?

Nilai kawasan hijau dalam ladang menjadi lebih jelas apabila melihat kepada spesies yang masih direkodkan.

Menurut Prof. Azlan, kajian telah merekodkan lebih 33 spesies mamalia sederhana dan besar seperti babi hutan, kijang dan rusa.

“Lebih 30 spesies kelawar turut direkodkan, termasuk satu spesies endemik Borneo serta beberapa spesies yang dianggap terancam di peringkat antarabangsa.

“Semua spesies kelawar pula dilindungi di Sarawak di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar Sarawak 1998.

“Selain itu, lebih 100 spesies burung telah direkodkan, sebahagiannya merupakan spesies dilindungi dan dianggap terancam,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, contoh yang dikongsikan itu cuma satu peratusan yang sangat kecil daripada apa yang sebenarnya ada di kawasan-kawasan tersebut.

Katanya, ini memerlukan lebih banyak kajian untuk mengetengahkan kebolehan landskap ini memulihara serta menampung spesies-spesies berkenaan.

Apabila kehilangan habitat mula menelan kos

Bagi Prof. Azlan, kehilangan hutan bukan hanya persoalan mengenai jumlah spesies yang berkurangan.

Fragmentasi, katanya, boleh memutuskan laluan migrasi dan mengurangkan kemandirian hidupan liar, manakala kehilangan habitat turut menjejaskan spesies yang mempunyai fungsi tertentu kepada ladang.

Lebah, kumbang dan kupukupu, misalnya, berperanan sebagai pendebunga.

“Burung dan kelawar pula membantu mengawal serangga perosak, manakala kucing batu menjadi antara pemangsa tikus.

“Apabila komponen ini berkurangan, kawalan perosak secara semula jadi turut terjejas.

“Pada mulanya kita akan menggunakan sedikit bahan kimia dan lama-kelamaan kita akan mula menggunakannya dengan kuantiti yang lebih banyak untuk mengurangkan kesan tersebut.

“Ini juga secara langsung akan memberi kesan kepada hasil penuaian,” katanya.

Pada masa sama, kata beliau, kawasan hutan mempunyai nilai tersendiri kepada masyarakat setempat yang bergantung kepada paku-pakis, rotan, tumbuhan bernilai perubatan serta tumbuhan berkaitan ritual.

Kawasan yang melindungi habitat

Ini kerana, tambah Prof. Azlan, kehidupan masyarakat kita di sini sangat berkait dengan alam sekitar.

Sarawak mempunyai banyak kawasan terlindung sepenuhnya seperti taman negara dan santuari hidupan liar dari Tanjung Datu hingga Limbang.

Prof. Azlan berkata, hubungan antara kawasan-kawasan berkenaan dengan hutan yang masih wujud dalam ladang penting bagi membantu pergerakan hidupan liar.

Beliau turut melihat koridor hidupan liar dan zon penampan sungai bukan semata-mata sebagai ruang yang perlu dikekalkan, tetapi sebagai pelaburan jangka panjang.

Beliau mengakui pengusaha kecil sering berdepan kesukaran untuk melabur dalam pemuliharaan kerana setiap inci persegi tanah dilihat penting untuk penanaman pokok sawit.

“Namun, manfaatnya boleh muncul dalam bentuk kestabilan tanah cerun, sungai yang bersih, pendebungaan dan kawalan perosak semula jadi,” katanya lanjut.

Kajian, katanya, menunjukkan fragmen hutan yang kurang satu kilometer antara satu sama lain dan koridor riparian mampu menghubungkan habitat berdekatan.

Secara tidak langsung, katanya, ia dapat mengurangkan kos kawalan perosak secara kimia dan berpotensi menjana pendapatan baharu melalui kredit karbon serta pembiayaan hijau.

Daripada tanggungjawab sosial kepada sumber pendapatan

Pendekatan terhadap pemuliharaan juga boleh diubah daripada sekadar program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kepada sebahagian daripada model ekonomi.

Prof. Azlan mencadangkan pengurusan ladang menggunakan akaun modal semula jadi atau natural capital accounting dalam penilaian penyata kewangan korporat.

Dalam masa sama, komuniti luar bandar dan pekebun kecil boleh diberikan peranan lebih besar menerusi konsep pemilikan bersama atau co-ownership.

“Mereka boleh menjadi pemegang taruh atau penerima manfaat daripada projek kredit alam semula jadi.

“Ahli komuniti juga boleh dilatih dan dibayar sebagai juruteknik pemantauan eDNA, pemantau hidupan liar (eco-rangers) atau pengurus koridor hijau,” ujarnya.

Menurut Prof. Azlan, pendekatan itu membolehkan masyarakat memperoleh pendapatan sambil melindungi ekosistem setempat.

Biodiversiti mempunyai nilai kewangan

Pemuliharaan juga boleh diterjemahkan kepada nilai ekonomi melalui pembiayaan hijau, kredit karbon, kredit biodiversiti dan premium harga pasaran.

Prof. Azlan berkata, kawasan HCV dan koridor hidupan liar tidak lagi seharusnya dianggap sebagai “tanah rugi”.

Sebaliknya, kawasan tersebut berpotensi diakreditasi untuk menjana kredit biodiversiti sekiranya mekanisme itu diperakukan pada masa akan datang.

“Melalui penjualan kredit biodiversiti dan karbon yang disahkan di peringkat antarabangsa, pemuliharaan ekosistem secara langsung menjana tunai yang mengukuhkan imbangan kewangan syarikat,” katanya.

Pendekatan itu, katanya lagi, turut membuka ruang supaya sebahagian manfaat ekonomi disalurkan kepada komuniti tempatan.

“Kekayaan biodiversiti Borneo pula boleh menjadi sebahagian daripada strategi pemasaran minyak sawit Sarawak,” jelasnya.

Prof. Azlan berkata, industri perlu bergerak daripada sekadar menghasilkan minyak sawit “bebas pembasmian hutan” atau deforestation-free kepada produk yang memberikan impak positif terhadap biodiversiti atau biodiversity-positive.

“Pelaporan ketelusan biodiversiti, iaitu flora dan fauna dalam landskap ladang, wajar meningkatkan nilai pasaran dan harga premium minyak sawit secara berkadar langsung dengan kekayaan spesies yang dipelihara,” katanya.

Menurutnya, Sarawak boleh mengetengahkan keterhubungan biodiversiti unik Borneo sebagai nilai jualan unik (USP), disokong teknologi penjejakan bagi membuktikan produk yang mesra biodiversiti, khususnya hidupan liar.

Ia, katanya, berpotensi membolehkan pembeli antarabangsa membayar harga premium bagi minyak sawit Sarawak, manakala sebahagian dana disalurkan kepada tabung amanah hutan atau projek pemulihan habitat flora dan fauna serta spesies endemik lain.

Kelestarian menentukan kebolehpasaran

Tuntutan kelestarian juga semakin berkait rapat dengan akses kepada pasaran antarabangsa.

Prof. Azlan berkata, Peraturan Bebas Penebangan Hutan Kesatuan Eropah (EUDR) melarang pembelian produk sawit daripada kawasan yang telah ditukar daripada hutan kepada ladang sawit mulai 2020.

Malaysia pula, katanya, menggunakan standard Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) 2022 yang merangkumi perlindungan HCV dan larangan pembasmian hutan sebagai mekanisme utama untuk membuktikan keselarasan dengan piawaian EUDR.

“Meskipun memerlukan kos pematuhan awal, kelestarian ialah aset ekonomi jangka panjang yang menjamin kebolehpasaran produk serta mengelakkan sekatan perdagangan,” katanya.

Namun, tuntutan tersebut tidak boleh menyebabkan pekebun kecil tercicir.

Mereka memerlukan persijilan kelompok, bantuan pembiayaan untuk pematuhan MSPO 2.0 serta latihan Amalan Pertanian Baik (GAP).

Prof. Azlan berkata, pekebun kecil di Sarawak berdepan risiko tersisih daripada rantaian bekalan eksport premium akibat kekurangan alat pemetaan digital, pemilikan tanah berdaftar dan pembiayaan bagi menghasilkan data poligon GPS.

MPOB dan agensi negeri sering membantu untuk mempercepat penggunaan platform pengesanan digital (MSPO Trace) bagi penghantaran buah tandan segar (BTS) dari kilang terus ke plot asal ladang.

“Kami juga dalam proses perbincangan dengan institusi penyelidikan di Jepun untuk memantapkan proses penjejakan serta pengesanan buah sawit,” katanya.

Tiga asas Sawit Sarawak 2035

Melihat ke hadapan, Prof. Azlan mencadangkan model “Sawit Sarawak 2035” berasaskan tiga perkara utama: intensifikasi hasil, keterhubungan landskap dan pengewangan modal semula jadi.

Intensifikasi hasil bermaksud meningkatkan pengeluaran dari kawasan sedia ada melalui teknologi pembiakan klon, pertanian mampan, pemulihan kesihatan tanah serta pertanian regeneratif.

“Antara yang dicadangkan ialah penggunaan biofertilizer mikrob tempatan sebagai alternatif kepada baja kimia sintetik, pemangsa biologi yang sesuai dan bukannya spesies eksotik, serta penggunaan dron dan AI dalam pengurusan tanaman secara presisi,” tambahnya.

Menurut Prof. Azlan, pendekatan itu dapat membantu mengekalkan biodiversiti, mengembalikan organisma tanah, cacing dan serangga pendebunga semula jadi, selain memulihkan kualiti tanah dan air sungai.

Keterhubungan landskap pula, katanya, menuntut pengekalan koridor riparian dan fragmen hutan yang kurang satu kilometer antara satu sama lain.

HCV juga, katanya, perlu diiktiraf sebagai kawasan hutan yang dilindungi dan diurus atau OECM yang diperakui di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

“Zon penampan sungai yang sesuai pula perlu dihubungkan dengan kawasan HCV bagi mewujudkan koridor hijau untuk pergerakan fauna terancam seperti harimau dahan, beruang madu dan burung enggang antara ladang dengan kawasan perlindungan seperti taman negara.

“Akhir sekali ialah pengewangan modal semula jadi menerusi kredit karbon, pembiayaan hijau, kredit biodiversiti dan carbon offsets yang disahkan.

“Sebahagian hasil daripada mekanisme tersebut boleh disalurkan kepada pekebun kecil bagi memberikan pulangan kewangan sebenar kepada komuniti yang terlibat dalam pemuliharaan,” kata beliau.

Menukar paradigma industri

Bagi Prof. Azlan, model Sawit Sarawak 2035 perlu membawa industri keluar daripada paradigma sekadar mengurangkan kerosakan kepada pendekatan yang mampu memulihkan ekosistem atau naturepositive.

Selaras dengan PCDS 2030, katanya, industri juga perlu bergerak daripada model pembersihan tanah secara meluas kepada industri berasaskan teknologi tinggi, pemprosesan hiliran dan amalan mampan.

“Antara yang boleh diberi perhatian ialah ekonomi kitaran, bioteknologi hijau dan tenaga biojisim.

Pendekatan itu membolehkan nilai ekonomi sawit ditingkatkan tanpa bergantung sepenuhnya kepada peluasan kawasan tanaman.

“Melalui model ini, insyaAllah Sarawak dapat menjual minyak sawit tempatan dengan nilai tambah yang tinggi serta produk bioteknologi hijau yang membolehkan alam sekitar Sarawak berada dalam keadaan lebih baik berbanding dekad sebelumnya.

“Menerusi penerapan model ini dan pengurusan biodiversiti yang mampan, Sarawak bukan sahaja dapat menghasilkan minyak sawit patuh EUDR dan MSPO, malah membolehkan flora dan fauna endemik Borneo berada dalam keadaan yang lebih baik menjelang 2035,” katanya.

Masa depan industri sawit Sarawak, berdasarkan gagasan itu, bukan semata-mata mengenai keluasan kawasan yang boleh ditanam.

Ia mengenai kemampuan menghasilkan lebih banyak nilai dari tanah yang sudah dibangunkan, sambil mengekalkan habitat yang masih menjadi tempat bergantungnya hidupan liar dan masyarakat.

Dalam ekonomi sawit masa depan, hutan yang dikekalkan bukan lagi sekadar ruang yang tidak ditanam — ia boleh menjadi sebahagian daripada modal yang memastikan industri itu terus bertahan secara mampan.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU