ARTIKEL

Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting (empat dari kanan) yang mewakili Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah bersama-sama jemputan kenamaan lain merasmikan Kongres & Ekspo MediPelancongan Global Borneo (BGMT) 2026. Foto Ramidi Subari

Hasil pelancongan perubatan Sarawak naik 21 peratus

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sektor pelancongan perubatan Sarawak merekodkan hasil RM109.9 juta pada separuh pertama tahun ini, meningkat 21 peratus berbanding RM90.6 juta pada tempoh sama tahun lalu.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, perkembangan itu menunjukkan sektor berkenaan semakin mendapat momentum dan berpotensi menyumbang lebih besar kepada ekonomi negeri.

Datuk Sebastian Ting yang mewakili Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menyampaikan ucapan perasmian pada Kongres & Ekspo MediPelancongan Global Borneo (BGMT) 2026. Foto Ramidi Subari

Beliau berkata, Sarawak merekodkan hasil RM203.2 juta daripada pelancongan perubatan pada 2025, meningkat 27 peratus berbanding RM160.2 juta pada 2024.

Katanya, jumlah pelancong perubatan turut meningkat daripada 76,796 orang pada 2024 kepada 104,323 orang pada 2025, iaitu pertumbuhan sebanyak 36 peratus.

“Ini keputusan yang sangat meyakinkan. Ia mencerminkan permintaan yang kian meningkat ke atas perkhidmatan penjagaan kesihatan Sarawak dan potensi pelancongan perubatan untuk menyumbang secara lebih ketara kepada pembangunan ekonomi negeri kita,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan oleh timbalannya Datuk Sebastian Ting pada Kongres dan Ekspo MediPelancongan Global Borneo (BGMT) 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.

Bagi separuh pertama 2026, jumlah pelancong perubatan turut meningkat empat peratus kepada 48,480 orang berbanding 46,793 orang dalam tempoh sama tahun lalu.

Abdul Karim berkata, pertumbuhan hasil yang lebih tinggi berbanding jumlah pelancong perubatan memberi ruang kepada Sarawak untuk menambah baik nilai perkhidmatan kesihatan serta pengalaman pesakit.

“Ini memberikan kita alasan untuk mengkaji bagaimana Sarawak boleh memperkukuh lagi nilai perkhidmatan penjagaan kesihatannya, meningkatkan pengalaman pesakit dan menarik lebih ramai pesakit antarabangsa yang mencari rawatan perubatan berkualiti,” katanya.

Menurut beliau, pelancongan perubatan bukan sahaja membuka peluang kepada sektor penjagaan kesihatan, malah turut memberi manfaat kepada industri pelancongan dan perkhidmatan lain.

Katanya, pesakit yang datang untuk mendapatkan rawatan lazimnya turut membawa ahli keluarga serta memerlukan penginapan, pengangkutan dan makanan sepanjang tempoh rawatan dan pemulihan.

Keadaan itu sekali gus membuka peluang kepada hotel, restoran, pengusaha pengangkutan dan perniagaan pelancongan tempatan untuk menerima limpahan ekonomi daripada sektor berkenaan.

Abdul Karim berkata, penganjuran BGMT menyediakan platform kepada pemain industri kesihatan, pelancongan, hospitaliti dan teknologi untuk bertukar pandangan, menjalin kerjasama serta meneroka peluang pelaburan bagi mengembangkan sektor pelancongan perubatan Sarawak.

Beliau berkata, hubungan pengangkutan turut menjadi faktor penting dalam menarik lebih ramai pesakit antarabangsa kerana kemudahan kesihatan yang berkualiti perlu disokong akses perjalanan yang mudah.

Katanya, pembangunan AirBorneo dilihat sebagai satu platform untuk memperkukuh hubungan Sarawak dengan pasaran serantau, sekali gus memudahkan perjalanan pesakit, ahli keluarga dan profesional kesihatan ke negeri ini.

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU