KUCHING: Sarawak mencatatkan kutipan hasil sebanyak RM10.732 bilion sehingga September 2026, bersamaan 82 peratus daripada sasaran hasil yang diunjurkan tahun ini, kata Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, kutipan itu disumbangkan terutamanya oleh Cukai Jualan Negeri sebanyak RM3.941 bilion, khususnya daripada produk petroleum dan minyak sawit mentah, pampasan tunai sebagai ganti hak minyak dan gas sebanyak RM2.334 bilion serta pendapatan dividen berjumlah RM2.147 bilion.
“Berdasarkan trend semasa, jumlah hasil bagi 2026 diunjurkan mencecah RM13.571 bilion, meningkat RM552 juta atau empat peratus berbanding anggaran asal RM13.049 bilion.
“Penyumbang utama kepada peningkatan ini ialah semakan menaik Geran Khas daripada Kerajaan Persekutuan, daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion, iaitu peningkatan sebanyak RM900 juta yang berkuat kuasa pada tahun ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Sarawak 2027 pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19, di sini, hari ini.
Sementara itu, Abang Johari memaklumkan inflasi di Sarawak kekal sederhana dengan purata 0.7 peratus dalam tempoh tujuh bulan pertama 2026, meskipun terdapat potensi tekanan harga luaran akibat perkembangan di Selat Hormuz dan turun naik pasaran tenaga global.
“Harga yang lebih rendah bagi barangan terpilih dalam kumpulan perumahan, air, elektrik, gas dan bahan api lain membantu mengimbangi kenaikan harga makanan dan minuman.
“Keadaan ini turut dibantu oleh subsidi diesel bersasar BUDI MADANI serta diskaun bil elektrik sebanyak 25 peratus yang diberikan oleh Kerajaan Sarawak kepada pengguna domestik,” ujarnya.
Beliau memaklumkan, bagi keseluruhan tahun ini, inflasi diunjurkan berada antara 1.0 peratus dengan 1.5 peratus, sekali gus mencerminkan jangkaan kesan susulan daripada perkembangan terkini harga tenaga dan komoditi global.
“Prospek inflasi sederhana ini memperlihatkan keberkesanan langkah bersasar yang dilaksanakan dalam melindungi isi rumah daripada kejutan luaran, di samping mengekalkan kuasa beli dan kestabilan ekonomi,” jelasnya.


