KUCHING: Hasrat murni untuk mewakafkan sebuah van bagi kegunaan masyarakat akhirnya menjadi kenyataan apabila Hajah Norma Kartini menyerahkan sebuah van jenis Vellfire dalam satu majlis yang berlangsung di Surau Darul Hijrah, pada 17 Jun 2026 bersamaan 1 Hijrah.
Van wakaf tersebut akan digunakan bagi membantu urusan komuniti, khususnya melibatkan pengurusan jenazah serta aktiviti kebajikan penduduk di kawasan Kampung Panglima Seman hingga Boyan, termasuk Darul Hana Selatan dan Darul Hana Utara. Kemudahan itu dijangka memberi manfaat besar kepada penduduk yang memerlukan.
Menurut Hajah Norma Kartini, hasrat untuk mewakafkan van jenazah itu merupakan niat yang pernah disuarakan oleh arwah suaminya sebelum meninggal dunia pada 2022. Beliau berkata, arwah amat berharap impian tersebut dapat direalisasikan sebagai sumbangan kebajikan kepada masyarakat, dan beliau bersyukur kerana hajat itu akhirnya dapat ditunaikan.
Sementara itu, Pengerusi Surau Darul Hijrah, Badar bin Bosri, merakamkan penghargaan atas sumbangan berkenaan dan berharap van wakaf itu dapat dimanfaatkan serta dijaga dengan baik oleh penduduk demi kepentingan bersama.




