BINTULU: Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) komited memastikan isu berkaitan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Bandaria Park diselesaikan secara berhemah menerusi kerjasama erat antara pihak pengurusan dan para penghuni.
Pengerusinya, Abdul Yakub Arbi berkata, komitmen itu dinyatakan menerusi Sesi Penerangan Penyewaan PPR Bandaria Park yang diadakan bagi memberi penjelasan kepada penyewa mengenai syarat penyewaan, hak serta tanggungjawab masing-masing dalam memastikan kawasan perumahan itu kekal selesa, selamat dan harmoni.
“PPR diwujudkan khusus untuk membantu golongan yang benar-benar memerlukan memiliki kediaman mampu milik.
“Justeru setiap penyewa perlu menghargai kemudahan yang disediakan dengan mematuhi syarat penyewaan serta menjelaskan bayaran sewa mengikut jadual yang ditetapkan.
“Unit kediaman yang disediakan juga hendaklah digunakan mengikut tujuan asal supaya manfaat program ini dapat dinikmati oleh golongan sasar,” katanya dalam satu hantaran menerusi Facebook rasminya, hari ini.
Sehubungan itu, Yakub turut mengingatkan penghuni supaya memainkan peranan dalam menjaga kebersihan kawasan kediaman, memelihara kemudahan awam serta mengelakkan perbuatan vandalisme.
Ujarnya, setiap penghuni juga perlu mengamalkan sikap saling menghormati tanpa mengira kaum dan agama kerana semangat kejiranan yang kukuh merupakan asas kepada pembentukan komuniti yang aman dan sejahtera.
Selain itu, beliau berkata, aspek keselamatan tidak boleh dipandang ringan dengan penghuni disaran sentiasa berwaspada, menjaga keselamatan keluarga serta melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak pengurusan atau pihak berkuasa.
Menyentuh isu tunggakan sewa, Yakub menggalakkan penyewa yang berdepan kesukaran supaya tampil berbincang lebih awal dengan pihak pengurusan bagi mencari penyelesaian terbaik tanpa menjejaskan kepentingan semua pihak.
“Saya yakin kerjasama erat antara pihak pengurusan dan seluruh penghuni mampu menjadikan PPR Bandaria Park sebagai sebuah komuniti yang bersih, selamat, harmoni dan kondusif untuk didiami,” tambahnya.



