ARTIKEL

Datuk Michael Tiang mewakili Datuk Amar Dr Sim Kui Hian ketika berucap pada Majlis Ngiling Bidai HDC 2026 di Kuching, hari ini. | Foto: Alverdtekoster Anyap

HDC laksana semakan berkala penyewaan PPR di Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kerajaan Sarawak akan menjalankan semakan penyewaan berkala terhadap semua skim Program Perumahan Rakyat (PPR) yang diuruskan Perbadanan Pembangunan Perumahan (HDC) di seluruh negeri bagi memastikan bantuan ini dinikmati golongan yang benar-benar memerlukan.

Timbalan Premier, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian, berkata langkah itu dilaksanakan susulan peningkatan permintaan terhadap perumahan awam, khususnya dalam kalangan komuniti B40 dan isi rumah berpendapatan rendah.

Datuk Michael Tiang mewakili Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menyempurnakan Majlis Ngiling Bidai HDC 2026 di Kuching, hari ini. | Foto: Alverdtekoster Anyap

Katanya, semakan penyewaan dibuat mengikut dasar dan garis panduan yang ditetapkan dengan mengambil kira beberapa faktor, termasuk tempoh penyewaan, pendapatan isi rumah, pemilikan hartanah, rekod pembayaran serta pematuhan terhadap syarat yang ditetapkan.

“Pada masa sama, keadaan kebajikan penghuni turut dinilai secara teliti berdasarkan setiap kes bagi memastikan keputusan yang dibuat adalah adil dan berperikemanusiaan,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi ucapan yang dibacakan Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Kerajaan Tempatan), Datuk Michael Tiang, pada Majlis Ngiling Bidai HDC 2026 di sini, hari ini.

Dr Sim berkata langkah berkenaan bukan bertujuan menyusahkan mana-mana individu atau keluarga, sebaliknya mencerminkan tanggungjawab kerajaan negeri dalam memastikan sumber perumahan awam yang terhad dapat diurus secara adil, telus dan berhemah.

Beliau berkata Kerajaan Sarawak komited menyediakan perumahan mampu milik kepada golongan yang memerlukan menerusi pelbagai program perumahan awam yang bukan sahaja menawarkan kediaman, malah persekitaran kehidupan yang kondusif bagi meningkatkan kesejahteraan sosioekonomi rakyat.

Katanya, antara inisiatif utama ialah Program Perumahan Rakyat (PPR) yang menyediakan rumah sewa mampu milik kepada keluarga yang layak sebagai jaringan keselamatan sosial secara sementara.
“Program ini membantu keluarga mencapai kestabilan kewangan yang lebih baik, meningkatkan kualiti hidup dan seterusnya bergerak ke arah pemilikan rumah serta kehidupan yang lebih berdikari,” jelasnya.

Beliau menegaskan bahawa Kerajaan Sarawak akan terus melindungi kebajikan rakyat, khususnya golongan B40, sambil memastikan kemampanan jangka panjang program perumahan awam yang dilaksanakan di negeri ini.

Pada masa sama, beliau berkata perpaduan dan keharmonian yang dinikmati Sarawak hari ini perlu terus dipelihara kerana menjadi asas kepada pembangunan dan kemajuan negeri.

Katanya, semangat saling menghormati serta budaya hidup bersama dalam kepelbagaian yang diamalkan rakyat pelbagai kaum dan agama merupakan kekuatan utama Sarawak dalam merealisasikan agenda pembangunan di bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).

BERITA LAIN

AIDIL ANGGAP SETIAP AKSI ACL2 SEPERTI FINAL

KUCHING: Setiap perlawanan Kuching City FC perlu dianggap seperti aksi final, termasuk pertemuan dalam Liga Juara-Juara Asia Dua (ACL2) 2026-2027 menentang Kitchee SC di Stadium

BERITA TERBARU