ARTIKEL

Antara barangan yang berjaya disita. Foto JKDM Sarawak

Helah simpan barangan seludup di rumah gagal

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Helah menyimpan rokok dan minuman keras yang dipercayai tidak berkastam di sebuah rumah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa akhirnya terbongkar selepas serbuan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Sibu.

Bahagian Penguatkuasaan JKDM Sarikei merampas sebanyak 6,766,400 batang rokok dan 89,416.80 liter minuman keras bernilai keseluruhan RM7.29 juta.

Pengarah Kastam Negeri Sarawak, Datuk Norizan Yahya, berkata serbuan dilakukan di sebuah kediaman di Lorong Rantau Panjang Jaya 3H, Sibu, kira-kira jam 9.15 malam pada 19 Disember lalu.

Menurutnya, pemeriksaan mendapati sejumlah besar rokok dan minuman keras yang disyaki barangan larangan di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 disimpan di dalam premis berkenaan.

“Nilai rampasan bagi barangan itu dianggarkan RM1,209,043.20, manakala jumlah duti import dan cukai yang cuba dielakkan pula dianggarkan mencecah RM6,079,411.85,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata taktik menyimpan barangan seludup di premis kediaman dipercayai digunakan bagi mengaburi pihak berkuasa dan mengurangkan risiko dikesan.

Katanya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 kerana disyaki menyimpan atau memiliki barangan tidak berkastam serta barangan larangan import.

“JKDM menegaskan komitmen untuk terus mempergiat operasi membanteras aktiviti penyeludupan termasuk rokok, minuman keras, dadah, mercun dan kenderaan,” jelasnya.

Orang ramai turut digesa menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan penyeludupan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana pejabat kastam berhampiran.

Antara barangan yang berjaya disita. Foto JKDM Sarawak

BERITA LAIN

Cubaan seludup rokok di Serikin gagal

KUCHING: Cubaan menyeludup rokok ke Indonesia melalui laluan haram di Serikin berjaya digagalkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan nilai keseluruhan rampasan mencecah RM194,850, awal pagi

BERITA TERBARU