ARTIKEL

Nancy menyampaikan hadiah kepada salah seorang kanak-kanak sempena Karnival Sambutan Hari Kanak-kanak di Kampung Sempadi di Lundu, hari ini.

Henti jadikan telefon pintar sebagai pengasuh anak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

LUNDU: Budaya menjadikan telefon pintar dan gajet sebagai ‘pengasuh’ kanak-kanak mesti dihentikan kerana dikhuatiri mendedahkan mereka kepada kandungan tidak sesuai.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata ibu bapa khususnya perlu menyedari risiko berkenaan, selaras dengan undang-undang sedia ada di Malaysia yang tidak membenarkan kanak-kanak menggunakan peranti digital.

“Sebenarnya kita sudah ada undang-undang yang tidak membenarkan kanak-kanak menggunakan telefon pintar, aplikasi digital dan sebagainya, tetapi ia mungkin tidak diambil perhatian.

“Baru-baru ini, Australia menetapkan kanak-kanak berusia 16 tahun ke bawah tidak boleh menggunakan telefon pintar. Malaysia juga sama, tetapi kita tidak perlu meminda undang-undang kerana kita sudahpun mempunyai undang-undang itu.

“Justeru, gajet tidak boleh dijadikan alat untuk mendiamkan anak-anak kerana ia mendedahkan mereka kepada kandungan tidak sesuai,” katanya ketika ditemu bual selepas menyempurnakan majlis penutupan Karnival Sambutan Hari Kanak-kanak di Kampung Sempadi, di sini, hari ini.

Sementara itu, Nancy berkata Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak KASIH Kanak-Kanak diiktiraf oleh The Malaysia Book of Records sebagai Program Advokasi Perlindungan Kanak-Kanak Terbesar dengan penyertaan 128,148 kanak-kanak di seluruh Malaysia.

Menjelas lanjut, beliau berkata program yang dilaksanakan kementeriannya melalui Jabatan Pembangunan Kanak-Kanak dan Jabatan Kebajikan Masyarakat itu dijalankan di 564 sekolah dan 46 Pusat Aktiviti Kanak-Kanak di seluruh negara, memberi manfaat kepada 71,213 kanak-kanak.

Tambahnya, di Sarawak, program itu dilaksanakan di 71 sekolah dan lapan Pusat Aktiviti Kanak-Kanak, dengan 14,895 peserta menerima manfaat secara langsung.

“Saya amat menghargai kerjasama erat antara semua agensi termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan Pasukan Pelindung Kanak-Kanak yang bersama-sama memperkukuh usaha perlindungan anak.

“Program ini turut menggalakkan masyarakat menjadi mata dan telinga komuniti, khususnya dengan melaporkan kes penderaan menerusi Talian Kasih 15999 agar setiap anak dapat hidup dalam persekitaran lebih selamat,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU