Hentikan operasi jika gagal bayar royalti

KUCHING: Hentikan operasi Petronas di Sarawak sekiranya gagal memberi royalti minyak dan gas sebanyak 20 peratus kepada Sarawak. Demikian tegas Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Soo Li Ching mencabar Adun Kota Sentosa, Chong Chieng Jen memaklumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Beritahu Tun Mahathir supaya hentikan operasi Petronas di Sarawak sekiranya gagal memberi royalti minyak dan gas sebanyak 20 peratus. “Jangan hanya sekadar menutup kegagalan Kerajaan PH dalam menunaikan janji. “Saya percaya rakyat Sarawak akan berasa tertipu dengan janji manis oleh Kerajaan PH dalam memberikan 20 peratus royalti minyak dan 50 peratus hasil daripada semua cukai yang dikutip di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Menurut Li Ching, Chieng Jen juga Pengerusi PH Sarawak mendakwa Kerajaan Sarawak menolak cadangan pakej yang ditawarkan oleh PH sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 dahulu.

“Saya ingin mengingatkan Chieng Jen apabila Semenanjung mengambil sumber minyak Sarawak untuk pembangunan kawasan mereka, Sarawak tidak pernah menetapkan syarat untuk pengambilan hasil bumi negeri ini.

“Jadi, kenapa apabila kita ingin mendapatkan semula 20 peratus royalti minyak dan gas mesti disertakan syarat? Sangat tidak masuk akal apabila ingin mendapatkan harta atau wang sendiri mesti memenuhi syarat tertentu sedangkan ia sebelum ini dirampas,” tegasnya.