KUCHING: Program HER2026 anjuran BorneoTalk, yang merupakan sebahagian daripada Program Perantisan Kepimpinan Wanita (PERANTIS), melabuhkan tirainya baru-baru ini selepas berlangsung selama tiga bulan di sebuah hotel di sini.
Program yang memfokuskan kepada aspek kepimpinan, kreativiti dan pengaruh digital ini dirangka dengan pendekatan moden, santai serta interaktif. Ia berjaya menghimpunkan 34 wanita daripada pelbagai peringkat umur, latar belakang dan etnik.

Majlis penutupan tersebut disempurnakan oleh Ahli Majlis Penasihat Wanita dan Keluarga Kebangsaan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Dr Rashidah Bolhassan yang mewakili Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri. Pada majlis itu, beliau turut menyampaikan sijil kepada para peserta sebagai simbol tamatnya program.
Datuk Seri Nancy dalam mesej video berkata, HER2026 memperlihatkan keutamaan kementerian dengan menghimpunkan wanita daripada pelbagai latar belakang serta menyediakan platform bermakna untuk jaringan, bimbingan dan pembangunan berterusan.
“Usaha seperti ini penting bagi memastikan wanita bukan sahaja menjadi peserta dalam kemajuan, tetapi juga penerajunya,” kata beliau.
Sementara itu, Ashley Pan daripada BorneoTalk berkata, HER2026 dibangunkan berasaskan idea bahawa pembelajaran kepimpinan paling berkesan berlaku apabila peserta berada dalam suasana yang selesa.
Menurutnya, sepanjang tiga bulan tersebut, suasana santai, sesi interaktif dan aktiviti praktikal membantu peserta membuka diri, membina hubungan serta belajar secara bermakna.
“Apa yang paling menggembirakan saya ialah melihat persahabatan yang terjalin serta sokongan tulus antara peserta,” katanya.
Mengulas mengenai kerjasama BorneoTalk dengan PERANTIS, beliau menjelaskan inisiatif oleh KPWKM itu bertujuan memperkasa kepimpinan wanita melalui program komprehensif, selain mengiktiraf tokoh wanita cemerlang serta mengangkat komuniti tempatan.
“PERANTIS merupakan inisiatif yang mencerminkan komitmen nasional dalam memperkukuh penyertaan wanita di semua peringkat masyarakat, selaras dengan agenda pemerkasaan wanita, pembangunan kepimpinan dan pertumbuhan inklusif,” tambahnya.
Sesi pertama HER2026 telah diadakan pada 3 Februari di Muzium Budaya Borneo, membolehkan peserta berinteraksi, berkongsi pengalaman serta menyertai pelbagai aktiviti praktikal. Program sehari itu merangkumi lima modul utama iaitu Foundations of Leadership, The Power of Voice, Storytelling with Your Voice, Public Leadership & Influence serta Creativity & Expression in the Digital Age.
Peserta turut didedahkan kepada strategi kepimpinan praktikal, pembinaan kehadiran kepimpinan, seni penceritaan serta ekspresi idea melalui media digital. Mereka juga melengkapkan enam tugasan yang merangkumi refleksi pengalaman peribadi dan aplikasi pembelajaran dalam dunia sebenar sepanjang tempoh tiga bulan.
Pada Mac lalu, satu sesi semakan secara dalam talian turut diadakan bagi membolehkan peserta berkongsi perkembangan serta memperhalusi idea yang dipelajari secara kendiri.
Majlis penutupan itu turut dimeriahkan dengan sesi panel bertajuk ‘Journey: Keep Going, Aim High’ yang menampilkan Dr Rashidah bersama Pengarah Urusan Arkitek Nurcipta Sdn Bhd, Erna Syafina Abdul Rahman; Pengasas Plushed Event Management, Selina Lee; serta Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi, Dr. Sue Marie Cheng Kian Pei.
HER2026 dianjurkan oleh BorneoTalk menerusi perusahaan sosialnya, Stirring Up Borneo (SUB) dengan kerjasama PERANTIS, KPWKM, Muzium Budaya Sarawak dan Angkatan Zaman Mansang Sarawak (AZAM) Young Souls.




