KUCHING: Pasukan Hero Bowling, Sarawak mencuri tumpuan apabila meraih tempat ketiga Piala SABATI 2026 dengan mengumpul 876 jatuhan pin dalam empat permainan di Megalanes, Emart Batu Kawa, di sini, malam tadi.
Pasukan Hong Kong, China 1 mengungguli kejohanan tersebut selepas mengumpul 934 jatuhan pin menerusi empat permainan.
Pasukan berkenaan mengatasi Sunway Megalanes 2 yang mengumpul 924 jatuhan pin.

Sebagai juara, Hong Kong, China 1 membawa pulang Piala Cabaran serta wang tunai RM2,000, manakala naib juara menerima RM1,000 dan tempat ketiga RM250.
Kejohanan itu menghimpunkan 48 pasukan membabitkan 144 peserta dan menjadi acara pembukaan kepada Kejohanan Boling Tenpin Terbuka Antarabangsa Sarawak 2026 (SIOTBC26).
Bagi anugerah pemain terbaik, pemain daripada pasukan MCG mencatat keputusan tertinggi dengan 268 jatuhan pin.
Pemain BIS Team 1 menduduki tempat kedua dengan 267 jatuhan pin, manakala pemain Ferusha melengkapkan kelompok tiga terbaik dengan 254 jatuhan pin.

Presiden Persatuan Tenpin Boling Amatur Sarawak (ABAS), Sunny Si Poh Heng berkata, Piala SABATI menjadi platform untuk mengeratkan persahabatan dan semangat setia kawan dalam kalangan pemain dari pelbagai negeri serta negara.
“Piala SABATI sentiasa menjadi acara pembukaan kepada SIOTBC26 dan tahun ini tidak terkecuali.
“Ia juga memberi peluang kepada pemain membentuk pasukan bersama rakan serta pemain dari negeri dan negara lain dalam suasana persahabatan,” katanya pada Majlis Penyampaian Hadiah Piala SABATI 2026, di sini, malam tadi.
Dalam pada itu, penganjuran Piala SABATI 2026 turut diserikan dengan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Persatuan Autistik Kuching (KAA) sebagai sebahagian daripada usaha memberi kembali kepada masyarakat.
Piala SABATI 2026 dianjurkan dengan kerjasama ABAS dan Megalanes Sarawak, manakala SABATI atau Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri merupakan pertubuhan kebajikan yang memberi tumpuan kepada usaha kebajikan sosial, kesihatan, pendidikan dan bantuan kepada komuniti di Sarawak.




