Hero Mulu selamat disemadikan

MIRI: Mayat mendiang pemandu pelancong Roviezal Robin, 20, selamat disemadikan di tanah perkuburan SIB Lambir semalam.

Upacara sembahyang diadakan di Unit Forensik Hospital Miri sebelum mayat mendiang dibawa ke tanah perkuburan.

Terdahulu sanak saudara dan rakan sekerja mendiang dari Mulu dan Long Terawan tiba di Miri untuk upacara sembahyang dan penghormatan terakhir.

Roviezal maut ketika dibawa arus deras selepas banjir kilat melimpahi Gua Rusa di Mulu Jumaat lepas.

Beliau terkorban semasa membawa sekumpulan pelancong asing melawat sekitar Gua Rusa di Taman Negara Mulu.

Turut terkorban, seorang pelancong Belanda, Peter Hans Hoverkamp, 66 tahun.

Ketua Balai Bomba Marudi, Maureen Sim berkata, Roviezal seorang pemandu pelancong yang sangat bertanggungjawab.

“Mendiang malah cuba untuk mengeluarkan semua pelancong di bawah jagaannya dengan selamat.

“Menurut saksi kejadian, kepala air melimpah dalam sekelip mata dan bertukar ganas sebelum menghanyutkan mangsa,” katanya.

Kali terakhir mangsa dilihat, adalah ketika bersama-sama isteri mendiang Hoverkamp, Gerda Alida berdekatan tali untuk naik ke tebing yang lebih tinggi dan selamat.