KUCHING: Sarawak Badan Amal Tenaga Isteri-Isteri (SABATI) menyumbangkan lima unit penyaman udara dan 21 buah katil bayi bernilai keseluruhan RM79,100 kepada Hospital Umum Sarawak (SGH).
Menurut kenyataan media SABATI, sumbangan tersebut bagi meningkatkan keselesaan pesakit serta ibu dan bayi yang menerima rawatan.
Sumbangan itu diserahkan dalam satu majlis ringkas pada 13 Oktober lepas.

Daripada jumlah itu, lima unit penyaman udara bernilai RM49,700, termasuk kos pemasangan dan paip, disumbangkan oleh Pansar menerusi SABATI untuk Wad Perubatan 5.
Manakala, 21 katil bayi bernilai RM29,400 disumbangkan oleh SABATI bagi memenuhi keperluan yang dikenal pasti pihak hospital.
Bendahari Kehormat SABATI, Siti Shorgayah Ahmad Zaidin berkata, kerjasama antara pertubuhan bukan kerajaan (NGO), organisasi korporat dan rakan strategik penting dalam menggabungkan sumber serta kepakaran bagi memenuhi keperluan masyarakat.
Kerjasama sedemikian turut membantu menambah baik kemudahan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan pesakit, selain memastikan sumbangan memberikan manfaat secara langsung kepada golongan yang memerlukan.

Melalui kerjasama dengan sektor korporat dan institusi penjagaan kesihatan, SABATI berhasrat memenuhi keperluan sebenar masyarakat, khususnya golongan rentan, demi membina Sarawak yang lebih sihat dan prihatin.
SABATI turut merakamkan penghargaan kepada Pansar atas sumbangan bagi pemasangan unit penyaman udara di SGH.



