ARTIKEL

Hidupkan PEKAN ROBAN

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SELEPAS satu tempoh yang panjang iaitu kira-kira 23 tahun, Sungai Seblak atau pekan Roban menerima semula kunjungan lebih 20,000 pengunjung.

Pesta Roban yang dianjurkan pada hujung minggu kedua November lalu benar-benar menjadi pelepas rindu.

Ramai yang kata; anak dah besar baharu ada lagi Pesta Roban. Bayangkan lebih lapan tahun ia tidak dianjurkan sejak 2015.

Begitu juga, kira-kira 20 tahun Sungai Seblak sunyi tanpa lumba perahu. Maka, tidak hairan keterujaan orang ramai itu membuak-buak.

Biarpun Pesta Roban yang berlangsung tahun ini tidak sehebat di tempat lain, namun memadai sebagai edisi pemula.

Tahun mendatang, insyaAllah lebih meriah.

Apabila disebut tentang Sungai Seblak, tergambar ialah buaya.

Dulu-dulu ada sang bedal terkenal dengan jolokan Bujang Seblak.

Begitu juga nama pawang buaya, Indet Senabong.

Siapa yang tidak kenal, individu yang dikatakan mempunyai ilmu “menundukkan” sang bedal.

Kini, semuanya tinggal cerita apabila kemajuan demi kemajuan dibawa kerajaan menyebabkan masyarakat jarang turun ke sungai seperti dulu.

Betul, kalau dulu masyarakat mencuci pakaian dan mandi di sungai.

Apatah lagi, ketika itu majoriti bergantung hidup kepada hasil sungai.

TEBINGAN SUNGAI SEBLAK

Kerajaan Sarawak aktif mengubah landskap pekan Roban khususnya tebingan sungai.

Setidak-tidaknya mampu mewujudkan suasana ceria.

Tidaklah pengunjung melalui sungai itu atau berkunjung ke Roban asyik memikirkan buaya.

Selepas ini, Tebingan Sungai Seblak yang dijadikan sebagai lokasi riadah terus dinaik taraf.

Menerusi peruntukan Agensi Pembangunan Bahagian Betong (BDDA) bagi DUN Kabong, sebanyak RM1.5 juta disediakan.

Sebelum ini, tebingan tersebut pernah dibangunkan menerusi Program Transformasi Luar Bandar (RTP) melibatkan tiga fasa iaitu sebanyak RM450,000 dilabur untuk mencantikkan tebingan itu.

“Komitmen kita menyenaraikan projek naik taraf prasarana Tebingan Sungai Seblak di bawah fasa kedua BDDA dengan anggaran kos RM1.5 juta,” kata Adun Kabong Mohd Chee Kadir.

Apabila siap, ia menjadi mercu tanda baharu di pekan Roban, seterusnya menjadi tarikan kepada orang ramai untuk beriadah.

Roban sebenarnya unik dari segi pentadbiran DUN — bukan sahaja berada di bawah satu DUN tetapi tiga DUN iaitu Kalaka, Krian dan Kabong.

Bagi Adun Kalaka Mohamad Duri, beliau menyifatkan kawasan tersebut agak besar dan masih memerlukan pembangunan infrastruktur asas.

Maka, sebahagian kawasan yang berada di bawah konstituensi beliau, masih ditumpukan kepada pembangunan infrastruktur terutama menaik taraf akses jalan raya.

PERLUKAN IPT

Ketiga-tiga wakil rakyat yang berhak ke atas Roban yakin, daerah kecil itu lebih maju selepas ini lebih-lebih lagi tiga “YB” adalah dari Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Penulis pernah menemu bual mantan Adun Kalaka Datuk Abdul Wahab Aziz dan Adun Kalaka sekarang.

Mereka mahukan institusi pendidikan lain di Roban. Satu perkara penting yang boleh mempercepat pertumbuhan pekan itu apabila tersedianya institusi pendidikan lain.

Bagaimanapun sehingga kini, belum tercapai. Kebanyakan sekarang ada di Saratok seperti GiatMara, Kolej Prauniversiti Saratok, Sekolah Menengah Kebangsaan (Agama) Saratok serta pelbagai lagi sekolah menengah dan rendah termasuk tahfiz.

Tetapi di Roban cuma ada SMK Kalaka dan sekolah rendah.

Justeru, kerajaan diminta mempertimbangkan cadangan mewujudkan institusi pendidikan lain terutama dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (Stem) serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Sekurang-kurangnya wujudkan institusi milik Kerajaan Sarawak. Kita ingin menggalakkan anak-anak menceburi bidang Stem serta TVET, maka boleh dibuka cawangan seperti Sarawak Skills atau Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (Centexs) misalnya. Kolej Komuniti, GiatMara juga relevan.

Dalam pelan Strategi Pembangunan PascaCovid-19 2030, Kerajaan Sarawak dan rancangan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg Sarawak, kita bergerak ke arah ekonomi digital dan teknologi baharu.

Dalam pelan strategi tersebut, penekanan dalam teknologi baharu menyediakan kira-kira 15,000 peluang pekerjaan.

Usaha ini boleh mempercepat pertumbuhan pekan Roban. Dalam masa yang sama, gali potensi lain terutama pertanian.

Ini memandangkan dari segi perhubungan jalan raya, sudah sangat dekat dengan Lebuh Raya Pan Borneo.

BERITA LAIN

Tiga kursus buka perspektif baharu

PADA 6 dan 7 Oktober lalu, saya menghadiri kursus AI for Admin, HR & Secretaries di sebuah hotel di pusat bandar raya Kuching. Kursus selama

Jambatan mudahkan perjalanan pulang

Setiap kali musim perayaan tiba, perjalanan pulang ke kampung menjadi antara perkara yang paling dinantikan, terutama bagi mereka yang bekerja jauh dari kampung halaman. Namun,

BERITA TERBARU