KUCHING: Pasar tani mingguan di perkampungan Boyan, Gersik dan Sourabaya (BGS) dicadang dihidupkan semula bagi memudahkan penduduk kawasan seberang mendapatkan produk makanan pada harga berpatutan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Penyelaras Projek Agensi Pembangunan Wilayah, Dewan Bandaraya Kuching Utara dan Hal Ehwal Islam), Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata, tapak Esplanad Kampung Gersik pernah menjadi lokasi pasar tani mingguan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) sekitar tujuh hingga lapan tahun lalu.
“Justeru, saya berharap program ini dapat dihidupkan semula bagi memberi kemudahan kepada penduduk, khususnya mereka yang tinggal di kawasan seberang sungai, untuk mendapatkan produk makanan pada harga berpatutan seperti yang ditawarkan hari ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Program Jualan Agro Sarawakku Sayang (JASS) di Esplanad Gersik, Boyan, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau akan berhubung dengan pihak FAMA untuk melihat kemungkinan program itu dapat diadakan secara berkala di kawasan berkenaan.
“Jika tidak dapat dilaksanakan secara mingguan, mungkin kita boleh mengadakannya secara bulanan atau suku tahunan pada masa akan datang,” jelasnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Abdul Rahman turut menggalakkan penduduk kampung menyertai usaha pertanian bandar di bawah Program Pertanian Komuniti DBKU.
“Usaha ini menggalakkan penanaman sayur-sayuran dan tanaman kontan secara kecil-kecilan di kawasan sekitar rumah.
“Sekurang-kurangnya, mereka boleh mendapatkan hasil sendiri, selain membantu menangani cabaran ekonomi hari ini,” ujarnya.
Sehubungan itu, beliau menegaskan kerjasama antara agensi kerajaan dengan komuniti setempat penting dalam menangani tekanan ekonomi semasa.



