Sesebuah bangsa dikenali melalui budaya, adat dan seni yang diwarisi turun-temurun, kerana elemen itulah yang membentuk identiti serta membezakannya daripada bangsa lain. Apabila warisan itu semakin dilupakan, bukan sekadar seni yang hilang, malah sebahagian daripada jati diri sesuatu bangsa turut berisiko terhakis.
Justeru, usaha menghidupkan semula Gambus Lebo yang semakin jarang dimainkan di Sarawak diteruskan menerusi inisiatif Perintis Orkestra Tradisional Remaja Sarawak (POTRES) bagi memastikan warisan muzik tradisional itu terus dikenali, dipelajari dan diwariskan kepada generasi akan datang.
Ketua Fasilitator POTRES, Narawi Rashidi, berkata Gambus Lebo merupakan antara alat muzik tradisional yang dipercayai telah wujud di Sarawak sejak lebih 100 tahun lalu berdasarkan kewujudan sebuah Gambus Lebo lama yang kini dipamerkan dalam program berkenaan.


Menurutnya, bagaimanapun penggunaan alat muzik tersebut semakin berkurangan dan difahamkan kali terakhir ia dimainkan secara aktif adalah sekitar 1980-an.
“Gambus Lebo pernah dimainkan di Sarawak, tetapi penggunaannya semakin hilang sejak kira-kira 40 tahun lalu. Sebab itu saya melihat perlu ada usaha untuk mengembalikan semula alat muzik ini kepada masyarakat.
“Kira-kira empat tahun lalu, saya mula berusaha menghidupkan kembali Gambus Lebo dengan mempelajari, menggunakan dan memperkenalkannya kepada masyarakat. Saya juga membawa Gambus Lebo ke beberapa program serta persidangan bagi memperkenalkan semula alat muzik tradisional ini,” katanya.
Narawi berkata, usaha tersebut bukan sekadar mahu mengembalikan Gambus Lebo sebagai sebuah alat muzik, sebaliknya turut memberi perhatian kepada pengetahuan berkaitan teknik permainan, lagu dan tradisi yang mengiringinya.
Katanya, asal usul Gambus Lebo sendiri masih mempunyai ruang untuk dikaji dengan lebih mendalam, termasuk persoalan mengenai nama ‘Lebo’ yang masih belum dapat dipastikan secara tuntas.
“Apabila saya bertanya kepada masyarakat mengenai asal-usul nama Gambus Lebo, tidak banyak yang dapat memberikan penjelasan. Ada yang mengaitkan istilah ‘Lebo’ dengan sesuatu yang terbelah dua, tetapi asal-usul sebenar namanya masih memerlukan kajian dan dokumentasi yang lebih mendalam.


“Ini menunjukkan masih banyak perkara berkaitan Gambus Lebo yang perlu kita gali dan dokumentasikan supaya pengetahuan mengenainya tidak terputus,” katanya.
Menurut Narawi, antara cabaran terbesar dalam usaha melestarikan Gambus Lebo ialah memastikan wujudnya generasi baharu yang mahu mempelajari dan memainkan alat muzik berkenaan.
Katanya, program yang dilaksanakan turut membuka ruang kepada peserta daripada pelbagai peringkat usia untuk mempelajari Gambus Lebo, sekali gus mewujudkan proses pemindahan ilmu antara generasi.
“Apa yang penting, kita perlu memastikan Gambus Lebo tidak terus hilang daripada ingatan masyarakat. Sebab itu kita berusaha menarik minat golongan muda untuk mempelajarinya.
“Kita mahu generasi muda bukan sahaja tahu Gambus Lebo pernah wujud, tetapi mereka mengenali, mempelajari dan akhirnya mampu memainkan alat muzik tradisional ini,” katanya.

Beliau berkata, kesinambungan usaha tersebut memerlukan latihan yang berterusan selain ruang untuk Gambus Lebo dipersembahkan dalam pelbagai program kebudayaan.
Narawi turut merakamkan penghargaan kepada jurulatih, peserta dan semua pihak yang membantu menjayakan program Pelestarian dan Apresiasi Gambus Lebo Sarawak.
“Saya berharap usaha menghidupkan kembali Gambus Lebo ini dapat diteruskan secara berterusan. Kita mahu lebih ramai generasi muda mengenali, mempelajari dan akhirnya mampu memainkan alat muzik tradisional ini.
“Warisan tidak cukup sekadar disimpan. Ia mesti dipelajari, dimainkan, didokumentasikan dan diwariskan,” katanya.
Sementara itu, Penolong Setiausaha Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP), Abdul Rashid Mahsin, berkata kerajaan melalui Kementerian tersebut terus memainkan peranan dalam memastikan warisan seni dan budaya seperti Gambus Lebo dipelihara, didokumentasikan dan diwariskan kepada generasi muda.
Menurutnya, sokongan kerajaan menerusi Dana Mudahcara dapat membantu persatuan, penggiat seni dan pihak berkaitan melaksanakan program pemeliharaan, latihan, dokumentasi serta apresiasi seni tradisional. Dana tersebut sememangnya diwujudkan bagi menyokong program, aktiviti dan pembangunan kapasiti yang menyumbang kepada sektor warisan, kesenian dan kebudayaan Sarawak.
“Sokongan tersebut penting bagi memastikan ilmu dan kemahiran daripada tokoh serta penggiat berpengalaman dapat dipindahkan kepada generasi baharu, sekali gus mengelakkan warisan seperti Gambus Lebo daripada terus terpinggir dan hilang ditelan zaman,” katanya.
Abdul Rashid berkata, kerajaan turut menggalakkan golongan yang mempunyai pengalaman serta pengetahuan dalam bidang seni tradisional supaya terus berkongsi ilmu dengan generasi seterusnya, khususnya golongan muda.


Katanya, apabila sesuatu warisan semakin jarang ditemui, langkah pemeliharaan perlu diambil supaya ia terus dikenali dan dihargai masyarakat.
“Apabila golongan muda memahami nilai warisan tersebut, mereka akan lebih menghargai dan berusaha untuk memeliharanya.
“Inilah antara peranan yang kita laksanakan, iaitu mempromosikan, memelihara dan memperkasakan budaya serta warisan masyarakat Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga mempunyai peranan menyediakan sokongan kepada persatuan, penggiat seni dan pihak yang terlibat dalam usaha memelihara warisan seni menerusi pelbagai bentuk bantuan dan program pembangunan seni serta budaya.
Pada masa sama, katanya, setiap permohonan bantuan perlu disertakan tujuan dan perancangan yang jelas supaya sokongan kerajaan dapat disalurkan kepada aktiviti yang benar-benar memberi manfaat kepada pembangunan seni dan budaya.
Abdul Rashid turut merakamkan penghargaan kepada para jurulatih dan peserta yang mengambil bahagian dalam program berkenaan.
Katanya, komitmen mereka penting bagi memastikan ilmu dan kemahiran berkaitan Gambus Lebo terus dipelajari serta diwarisi oleh generasi baharu.
“Saya berharap usaha seperti ini akan terus dilaksanakan dan diperluaskan supaya warisan muzik tradisional Sarawak dapat dibawa lebih jauh serta dikenali oleh masyarakat, khususnya generasi muda.
“Insya-Allah, pihak kementerian akan terus memberikan sokongan terhadap usaha memelihara dan memperkasakan seni serta warisan budaya Sarawak,” katanya.



