BINTULU: Akademi WFL FC menutup kempen Kejohanan Bola Sepak Belia Tertutup PETRONAS (PYFCT) 2026 kategori Bawah 12 Tahun dengan bergaya apabila menewaskan Jepak Primary School Football Team (JePS FT) 4-1 pada aksi final di Padang Bola Sepak Universiti Putra Malaysia Sarawak (UPMS), di sini, Sabtu lalu.
Kejayaan itu hadir selepas WFL FC mara ke final dengan menewaskan Wild Egrets FC (SK Tanjung Batu) 3-0 pada separuh akhir, manakala JePS FT mengetepikan Akademi Setiaraja Mukah x Igan FC 2-0.
Dalam aksi penentuan tempat ketiga, Akademi Setiaraja Mukah x Igan FC menewaskan Wild Egrets FC 2-1 untuk melengkapkan kedudukan tiga pasukan terbaik kejohanan.
Sepanjang saingan kumpulan, WFL FC turut memperlihatkan ketajaman luar biasa apabila merekodkan 19 gol tanpa bolos dalam dua perlawanan, manakala JePS FT mencatat tiga kemenangan daripada tiga aksi dengan sembilan jaringan tanpa bolos sebelum kedua-duanya meneruskan kemaraan ke pusingan kalah mati.
Selain empat pasukan berkenaan, kejohanan itu turut disertai SK Ulu Segan, SK Asyakirin dan Kelab Bola Sepak Kidurong, dengan keseluruhan lapan pasukan dari sekitar Bintulu termasuk Mukah mengambil bahagian.


Menurut PYFCT, saingan tersebut sebelum ini terpaksa ditangguhkan buat sementara waktu berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tinggi akibat jerebu dan diteruskan semula apabila keadaan bertambah baik.
“Penyambungan semula kejohanan mencerminkan komitmen untuk menyediakan platform yang selamat dan kondusif kepada pemain muda bersaing, mengembangkan kemahiran serta meningkatkan keyakinan diri,” katanya, semalam.
Tambahnya, kejohanan tersebut memberi penekanan kepada pembangunan bola sepak akar umbi dengan memupuk nilai kerja berpasukan, disiplin, kegigihan dan semangat kesukanan dalam kalangan pemain muda.
Kejohanan yang berlangsung pada 3 Oktober itu menggunakan format peringkat kumpulan sebelum pasukan terbaik mara ke pusingan kalah mati, separuh akhir dan final.
Hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee, dan disertai oleh Pengurus Besar Kanan Malaysia LNG (MLNG) merangkap Pengerusi Bersama PYFCT 2026 Edisi Bintulu, Nazman Rusli.
Edisi 2026 merupakan penganjuran terbesar sejak kejohanan itu diperkenalkan, dengan kira-kira 4,100 pemain dan pegawai daripada 164 pasukan terlibat di tiga zon pertandingan di Kuching, Bintulu dan Mukah.
Daripada jumlah itu, Bintulu melibatkan 56 pasukan bagi keseluruhan kategori dengan saingannya berlangsung sehingga 8 November, manakala Kuching membabitkan 84 pasukan dan Mukah 24 pasukan.
Bagi Bintulu, saingan merangkumi kategori B-10, B-12, B-14 dan B-16, manakala kategori B-10 yang berlangsung pada Ogos lalu menyaksikan ASRM x Igan FC meraih kejuaraan.
Perjalanan pembangunan bakat itu akan diteruskan menerusi Kejohanan Liga Juara-Juara Bola Sepak Belia PETRONAS (PYFCL).
PYFCL akan berlangsung di Kuching dari 6 hingga 13 Disember, membabitkan pasukan terbaik kategori B-14 dan B-16 daripada zon pertandingan untuk merebut kejuaraan keseluruhan.



