Bermula dengan percubaan menghasilkan hamper untuk mengisi masa lapang, minat seorang wanita terhadap seni gubahan itu kini mendorongnya mengusahakan perniagaan kecil-kecilan yang mendapat sambutan menggalakkan.
Nurul Shamira Razali, 34, yang menjalankan perniagaan di Sharnya Scarves, Medan Ria Mukah, berkata, minatnya untuk menghasilkan hamper bermula sekitar 2024 apabila dia ingin mencuba sesuatu yang baharu.
Walaupun tidak mempunyai pengalaman khusus dalam bidang berkenaan, dia pada mulanya hanya menghasilkan hamper sekadar suka-suka sebelum hasil gubahannya mula menarik perhatian rakan-rakan dan pelanggan yang berkunjung ke kedainya.


Menurutnya, pembelian daripada rakan-rakan serta maklum balas positif pelanggan menjadi pendorong untuknya terus menghasilkan hamper dan menerima tempahan daripada orang ramai.
“Pada mulanya, saya menghasilkannya sekadar untuk mencuba.
Kemudian, kawan-kawan mula membeli dan pelanggan yang datang ke kedai juga tertarik melihat hamper yang saya hasilkan.
“Alhamdulillah, sejak itu semakin ramai yang mula membuat tempahan,” katanya ketika ditemui Suara Sarawak.
Menariknya, kemahiran menghasilkan hamper itu dipelajari sendiri dengan memanfaatkan pelbagai perkongsian di platform media sosial seperti TikTok dan YouTube.
Menurutnya, video dan perkongsian dalam talian banyak membantunya mempelajari teknik menghasilkan hamper, termasuk cara menyusun barangan supaya kelihatan kemas dan menarik.
“Selain mempelajari teknik gubahan, saya turut mendapat inspirasi daripada pelbagai idea yang dikongsikan oleh pengguna media sosial untuk menghasilkan susunan yang bersesuaian dengan kehendak pelanggan.
“Kemajuan teknologi masa kini banyak memudahkan proses mencari ilham, terutama ketika memikirkan konsep dan cara menyusun barangan di dalam sesebuah hamper,” jelasnya.


Dari segi pilihan, hamper yang dihasilkan merangkumi pelbagai jenis barangan seperti buah-buahan, bahan masakan, alat tulis dan barangan lain mengikut permintaan pelanggan.
Ujarnya, setiap tempahan disediakan berdasarkan bajet yang ditetapkan oleh pelanggan bagi memastikan kandungan hamper bersesuaian dengan kemampuan masing-masing.
Pada peringkat awal perniagaannya, Shamira pernah menerima tempahan hamper pada harga serendah RM10.
Bagaimanapun, peningkatan harga barangan menyebabkan penyediaan hamper pada harga tersebut semakin mencabar kerana pilihan barangan yang boleh dimasukkan menjadi lebih terhad.
“Kalau pelanggan mempunyai bajet RM10 atau kurang, masih boleh dipertimbangkan, tetapi pilihan barang agak terhad dan bergantung pada harga semasa.
“Biasanya saya akan sesuaikan kandungan hamper dengan bajet yang diberikan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, dia memberitahu, nilai tempahan tertinggi yang pernah diterimanya ialah RM400, bergantung pada jenis barangan dan permintaan pelanggan.
Permintaan terhadap hamper biasanya meningkat menjelang musim perayaan seperti Hari Krismas dan Hari Raya Aidilfitri, selain permintaan untuk dijadikan hadiah sempena sambutan hari lahir serta majlis di sekolah.
Kepelbagaian tujuan pemberian itu turut membuka ruang kepadanya untuk menghasilkan hamper dengan konsep dan susunan berbeza mengikut acara.
Selain hamper, Shamira turut menyediakan cenderahati (goodies) untuk pelbagai majlis, khususnya sambutan hari lahir dan Hari Krismas.


Dia juga pernah menerima tempahan cenderahati untuk majlis perkahwinan, sekali gus memperluas jenis produk yang ditawarkan kepada pelanggan.
Ujarnya, setiap tempahan memerlukan perancangan dari segi kos barangan dan idea penyusunan supaya hasil akhir kelihatan menarik serta memenuhi kehendak pelanggan.
“Memandangkan semua kerja dilakukan sendiri tanpa pembantu, saya perlu menguruskan keseluruhan proses daripada mendapatkan barangan, merancang susunan hingga menyiapkan tempahan.
“Setakat ini, saya melakukan semuanya seorang diri dan memang perlu memikirkan kos barangan serta cara menyusunnya supaya hasilnya kelihatan menarik.
“Kadang-kadang saya mencari idea melalui teknologi yang ada sekarang, terutamanya melalui media sosial untuk mendapatkan inspirasi,” jelasnya lagi.

Walaupun menguruskan perniagaan secara bersendirian, dia bersyukur kerana setiap tempahan yang diterima memberikan peluang untuk menambah pengalaman dan memperbaiki hasil kerjanya.
Malah, sambutan pelanggan yang semakin meningkat turut memberikan keyakinan kepadanya untuk meneruskan usaha tersebut.
Antara perkembangan yang membanggakan ialah penerimaan tempahan goodies daripada pelanggan di Serian, sekali gus menunjukkan bahawa hasil usahanya turut mendapat perhatian pelanggan di luar kawasan Mukah.
“Alhamdulillah, sambutan yang diterima setakat ini amat menggalakkan dan menjadi dorongan kepada saya untuk terus memberikan hasil terbaik bagi setiap tempahan.
“Hal ini demikian kerana kepuasan pelanggan merupakan antara perkara penting dalam memastikan perniagaan yang diusahakan dapat terus bertahan dan berkembang.
“Saya turut berharap perniagaan ini akan terus maju pada masa hadapan serta semakin dikenali oleh orang ramai,” tambahnya.






