BINTULU: Hospital Bintulu kini memiliki Makmal Kateterisasi Jantung (Cardiac Catheterization Laboratory – CATH Lab), sekali gus menjadikannya pusat rawatan jantung kedua di Sarawak selepas Pusat Jantung Sarawak di Samarahan.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian, berkata kemudahan ini merupakan hasil kutipan dana melalui Yayasan Jantung Sarawak dengan sokongan syarikat PETROS dan Press Metal yang menyumbang lebih RM2 juta.

Beliau berkata dana tersebut membolehkan unit radiologi hospital ini dinaik taraf menjadi pusat kardiologi yang mampu menyediakan rawatan segera kepada pesakit jantung.
“Sekarang, kita boleh melihat saluran arteri jantung yang tersumbat.
“Sebelum ini, tiada teknologi di hospital swasta di Bintulu untuk mendiagnosis masalah jantung seperti ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika meninjau pusat satelit ‘CATH Lab’ di Hospital Bintulu pada hari ini.
Menurut Dr. Sim, ‘CATH Lab’ ini memainkan peranan penting dalam merawat serangan jantung, membolehkan pesakit yang mengalami arteri tersumbat untuk mendapatkan rawatan segera tanpa perlu dirujuk ke Kuching atau hospital lain.
“Kadang-kadang, jika saluran darah tersumbat, ubat sahaja tidak mencukupi untuk melancarkan kembali aliran darah.
“Inilah perlunya pakar kardiologi intervensi, seperti Ketua Pakar Kardiologi Pusat Jantung Sarawak, Dr. Ong Tiong Kiam, yang boleh melakukan prosedur menggunakan wayar halus sebesar sehelai rambut,” jelasnya.
Teknologi ini, katanya, membolehkan prosedur angioplasti dilakukan dengan memasukkan wayar melalui tangan pesakit ke jantung sebelum belon digunakan untuk membuka saluran yang tersumbat, diikuti dengan pemasangan stent bagi memastikan ia kekal terbuka.
“Dulu, pesakit perlu menjalani pembedahan jantung terbuka, tetapi kini mereka boleh dirawat pada waktu pagi, dan berjalan keluar dari hospital pada sebelah petang,” tambah Dr. Sim.
Dengan adanya ‘CATH Lab’ ini, Hospital Bintulu kini menjadi pusat satelit mini bagi rawatan jantung di Sarawak, seterusnya membolehkan penduduk sekitar untuk mendapatkan rawatan lebih pantas dan cekap.
Dr. Sim turut memuji usaha doktor dari Pusat Jantung Sarawak yang bersedia berkhidmat secara giliran di Bintulu bagi memastikan lebih ramai pesakit mendapat rawatan.
“Semalam mereka telah melakukan enam prosedur, hari ini lima lagi.
“Ini hanya permulaan, dan saya yakin pusat ini akan berkembang dengan cepat,” katanya lagi
Dengan perkembangan ini, rakyat Bintulu dan kawasan sekitarnya kini mempunyai akses lebih baik kepada rawatan penyakit jantung tanpa perlu menempuh perjalanan jauh ke Kuching, sejajar dengan usaha Kerajaan Sarawak untuk memperkasa kemudahan kesihatan di negeri ini.

