KUCHING: Kemajuan pembinaan Hospital Petra Jaya oleh kontraktor penyelamat kini mendahului jadual asal iaitu hampir 26 peratus.
Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, dengan perkembangan tersebut, projek tersebut dijangka akan beroperasi sepenuhnya menjelang tahun 2024 mengikut jadual.
“Setakat hari ini, kemajuan pembinaan sedikit ke hadapan iaitu sudah 25.9 peratus berbanding jadual 25.4 peratus.
“Ini bermakna sepatutnya tiada masalah untuk projek tersebut siap mengikut jadual,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Pejabat Sekretariat Lembaga Jurutera Malaysia (BEM) Sarawak di Wisma Saberkas, di sini, hari ini.
Hospital Petra Jaya mula dibina pada Mei 2013 pada asalnya dijadualkan siap pada November 2016.
Namun menghadapi beberapa kelewatan dan dikategorikan sebagai projek sakit selepas kontraktor terdahulu gagal menyiapkannya mengikut jadual.
Sementara mengenai projek lain, Fadillah berkata pembinaan Hospital Kanowit masih di peringkat awal berikutan terdapat beberapa perubahan.
“Ia susulan perubahan seperti reka bentuk, harga siling kontrak dan sebagainya yang memerlukan peruntukan tambahan. Justeru, hanya kerja-kerja seperti pemeriksaan dan pembersihan tapak boleh dijalankan,” katanya Ahli Parlimen Petra Jaya itu.
Manakala bagi Hospital Lawas dan Hospital Miri, Fadillah memberitahu kedua-dua projek tersebut agak lewat daripada jadual asal.
“Bagi Hospital Lawas, kemajuan kerja sepatutnya pada 31 peratus, tetapi setakat ini enam peratus di belakang jadual iaitu 25 peratus.
“Projek bangunan tambahan Hospital Miri pula sepatutnya siap sebanyak 28 peratus, bukannya 23 peratus setakat ini,” jelasnya.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata pembinaan Hospital Sri Aman telah siap dan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memulakan operasi.



