Hospital Sarikei perintis sistem solar air panas

SARIKEI: Hospital Sarikei menjadi hospital pertama Sarawak menggunakan sistem solar air panas yang dipraktikkan melalui penjimatan Kontrak Prestasi Tenaga (EPC). Projek itu merupakan inisiatif One Medicare Sdn. Bhd (OMSB) selaku syarikat konsesi Perkhidmatan Sokongan Hospital yang dilantik oleh kerajaan di Sarawak.

Pelaksanaannya untuk menaik taraf Dandang Konvensional kepada Sistem Air Panas Solar dan penggantian lampu jenis tiub fluorescent kepada tiub LED di hospital berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif OMSB, Sazali Tuah Neli berkata, inisiatif itu adalah untuk mencapai sasaran 95 peratus penjimatan bil diesel untuk kegunaan sistem dandang konvensional sedia ada dan penjimatan sebanyak 69 peratus penggunaan tenaga untuk lampu. Katanya, projek bermula Februari dan berakhir pada 31 Julai 2019.

“Sistem Air Panas Solar ini sudah beroperasi sepenuhnya pada 1 Ogos 2019. Melalui projek  ini, Hospital Sarikei menggunakan teknologi baharu untuk mengelakkan kebergantungan kepada sistem dandang konvensional dalam penghasilan air panas di samping mengurangkan penggunaan lampu fluorescent di hospital,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, sehingga kini, Hospital Sarikei mencapai penjimatan sebanyak 79 peratus dalam penggunaan diesel melalui sistem air panas solar itu. Melalui projek retrofit LED pula katanya, hospital tersebut berjaya menjimatkan 69 peratus penggunaan elektrik.

“Pulangan pelaburan projek dijangka dicapai menjelang tahun 2025, dengan jangkaan jumlah penjimatan terkumpul secara tahunan sebanyak RM898,000, manakala, jangkaan jumlah penjimatan yang berpotensi untuk dicapai sehingga Januari 2025 adalah sebanyak RM4.4 juta,” katanya.

Majlis pelancaran projek terbabit disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min. Hadir sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Sarawak Dr. Chin Zin Hing; Pengarah Hospital Sarikei, Dr. Tey Siew Chang dan Timbalan Pengarah Kanan (Perkhidmatan) Ir. Dr. Khairul Azmy Kamaluddin.

Suara Sarawak