BINTANGOR: Tiga mangsa kebakaran di Rumah Empani, Lubuk Putan, Sungai Meradong menerima bantuan barangan keperluan harian daripada Ahli Parlimen Sarikei, Datuk Seri Huang Tiong Sii.
Kebakaran yang berlaku kira-kira 8.56 pagi itu membabitkan kediaman tiga mangsa berusia antara 52 hingga 61 tahun.
Mereka ialah Edwin Juli, 52, Layee Entili, 59, dan Lawrins atau Sadang Budom, 61.
Bantuan yang disampaikan merangkumi pelbagai barangan asas bagi kegunaan harian mangsa.
Antara barangan disediakan ialah dapur gas, beras, minyak masak, gula, garam, telur, mi segera dan biskut.
Tiong Sii berharap bantuan tersebut dapat mengurangkan beban yang ditanggung mangsa susulan kebakaran itu.
“Saya berharap sumbangan dapat membantu memenuhi keperluan harian mereka dalam tempoh sukar ini,” katanya.
Dalam pada itu, mangsa merakamkan penghargaan kepada Tiong Sii atas bantuan dan keprihatinan yang diberikan kepada mereka.


