ARTIKEL

Pembangunan, kos sara hidup, MA63, prestasi pentadbiran pengaruhi pertimbangan pengundi – Penganalisis

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Janji politik dan projek pembangunan bukan lagi satu-satunya ukuran dalam menilai kepimpinan apabila perubahan generasi pengundi, peningkatan tahap pendidikan serta pengaruh media sosial turut membentuk pertimbangan masyarakat menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-13.

Penganalisis sosiologi politik, Dr Novel Lyndon berkata, perubahan itu memperlihatkan bagaimana masyarakat semakin memberi perhatian keberkesanan pelaksanaan dasar, integriti serta keupayaan pemimpin menyelesaikan masalah rakyat.

Menurutnya, dari perspektif sosiologi politik, pilihan raya kali ini bukan sekadar proses demokrasi untuk mendapatkan mandat baharu, sebaliknya menjadi medan bagi rakyat menilai prestasi kerajaan negeri dan menentukan hala tuju pembangunan Sarawak.

“Pengundi bukan sahaja melihat janji dan projek pembangunan, tetapi juga keberkesanan pelaksanaan, integriti serta keupayaan pemimpin menyelesaikan masalah rakyat,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.

Novel berkata, pilihan raya berkenaan turut menguji sejauh manakah pembangunan fizikal, kestabilan politik dan perjuangan hak Sarawak berjaya diterjemahkan kepada kesejahteraan rakyat.

Katanya, meskipun pembangunan infrastruktur semakin pesat, persoalan utama yang perlu diberikan perhatian adalah sejauh manakah manfaat pembangunan benar-benar dirasai masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Ukuran kejayaan pembangunan bukan semata-mata berapa banyak projek dilaksanakan, tetapi sejauh manakah projek tersebut meningkatkan kualiti hidup rakyat,” tegasnya.

Mengulas lanjut, beliau mengenal pasti empat isu utama yang berpotensi mempengaruhi pertimbangan pengundi, iaitu pembangunan, kos sara hidup, hak Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta prestasi pentadbiran kerajaan negeri.

Menurutnya, pembangunan infrastruktur termasuk jalan raya, bekalan air, elektrik dan capaian Internet perlu dinilai berdasarkan keberkesanannya dalam mengurangkan jurang pembangunan di antara bandar dengan luar bandar.

“Tekanan kos sara hidup, peluang pekerjaan dan pendapatan isi rumah kekal menjadi perhatian kerana pembangunan ekonomi tidak semestinya membawa makna sekiranya rakyat masih berdepan tekanan kewangan,” jelasnya.

Beliau berkata, MA63 pula terus relevan sebagai lambang hak, autonomi dan identiti Sarawak, namun masyarakat juga mahu melihat bagaimana pencapaian rundingan hak negeri diterjemahkan kepada manfaat ekonomi dan sosial secara langsung.

Sementara itu, Novel berkata, pengekalan 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU Sarawak ke-13 turut membawa cabaran keberkesanan perwakilan rakyat, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Menurutnya, keluasan sesetengah kawasan DUN yang merangkumi banyak kampung, rumah panjang dan penempatan terpencil boleh menyukarkan wakil rakyat menyediakan perkhidmatan secara menyeluruh berikutan kekangan jarak, pengangkutan dan kemudahan perhubungan.

“Walaupun penambahan 17 kerusi berpotensi memperbaiki perwakilan, persempadanan baharu perlu mengambil kira jumlah penduduk, keluasan geografi, hubungan komuniti dan keadilan politik.

“Penambahan kerusi sahaja tidak menjamin perwakilan yang berkesan.

“Isu sebenar bukan sekadar penambahan bilangan kerusi, tetapi memastikan suara masyarakat bandar, luar bandar dan pedalaman mendapat perhatian yang adil dalam proses pembangunan serta pembuatan keputusan kerajaan,” katanya.

Terdahulu, DUN Sarawak dibubarkan berkuat kuasa semalam sekali gus membuka laluan kepada PRU Sarawak ke-13 yang akan melibatkan 82 kerusi sedia ada.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU