ARTIKEL

Pembubaran DUN uji kekuatan GPS, penerimaan rakyat


Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak membuka gelanggang persaingan bagi mendapatkan mandat baharu sekali gus menjadi ujian kekuatan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan tahap penerimaan rakyat dengan kepimpinan negeri.

Penganalisis politik, Dr Romzi Ationg berkata, Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak ke-13 turut menjadi medan penting bagi menentukan kesinambungan agenda pembangunan dan autonomi Sarawak.

Menurutnya, pembubaran DUN yang berkuat kuasa semalam menandakan permulaan persaingan politik dengan prestasi pentadbiran kerajaan negeri antara aspek yang dijangka menjadi pertimbangan pengundi.

“Ia menandakan permulaan persaingan mendapatkan mandat baharu, menguji kekuatan GPS, menilai penerimaan rakyat terhadap kepimpinan negeri serta menentukan kesinambungan agenda pembangunan dan autonomi Sarawak,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak, hari ini.

Romzi berkata, kemajuan pembangunan, tekanan kos sara hidup dan peluang pekerjaan dijangka menjadi antara isu utama yang diberikan perhatian oleh pengundi menjelang pilihan raya berkenaan.

Katanya, pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta keberkesanan pentadbiran kerajaan negeri turut menjadi pertimbangan, termasuk sejauh manakah janji politik yang dikemukakan diterjemahkan kepada manfaat sebenar kepada rakyat.

Mengulas pengekalan 82 kerusi DUN pada pilihan raya kali ini, beliau berkata, keadaan itu menjadikan persaingan politik lebih tertumpu kepada kawasan pilihan raya sedia ada.

Namun, keperluan perwakilan masyarakat luar bandar dan pedalaman kekal penting bagi memastikan isu berkaitan infrastruktur, kemudahan asas serta pembangunan setempat terus mendapat perhatian.

Terdahulu, DUN Sarawak dibubarkan berkuat kuasa pada 26 Oktober selepas mendapat perkenan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan menentukan tarikh penamaan calon dan pengundian dengan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran DUN.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU