ARTIKEL

Mekanik dipenjara enam bulan, didenda RM3,000 kerana lupus harta curi


Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Seorang mekanik dijatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Majistret hari ini, kerana melupus harta curi dengan menjual rim tayar dan komponen kereta ke pusat kitar semula di Jalan Matang, September lalu.

Tertuduh, 38, mengaku bersalah atas dua pertuduhan di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan di hadapan dua Majistret berasingan.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, dia didakwa melupus harta seunit curi rim tayar, dua unit gelendong brek, dan seunit aci panjang (long shaft) milik seorang lelaki berusia 38 tahun.

Dia melakukan kedua-dua kesalahan itu di dua buah pusat kitar semula di Jalan Matang dan Jalan Stephen Yong, pada 5 dan 29 September lalu.

Majistret Nuriena Syafika Mohd Najib menjatuhkan hukuman penjara enam bulan bagi pertuduhan pertama.

Manakala, pertuduhan kedua, dia dijatuhkan hukuman denda RM3,000 atau penjara empat bulan oleh Majistret Ling Hui Chuan.

Berdasarkan fakta kes, pada 29 September lalu, pengadu melaporkan kejadian komponen kereta miliknya hilang dicuri.

Tangkapan dilakukan ke atas tertuduh pada 19 Oktober lepas.

Hasil siasatan mendedahkan tertuduh mengaku melupuskan harta curi iaitu komponen kenderaan terbabit yang dicurinya dari rumah pengadu.

Dia juga mengaku menjual komponen kenderaan terbabit dengan harga RM102.43 serta terdapat resit jualan barang lupus.

Pendakwaan kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Muhammad Aidil Akmal Sharidan, dan DPP Nurul Aqila Morsalin.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU