ARTIKEL

Pilihan raya umum Sarawak wajib diadakan dalam tempoh 60 hari selepas DUN bubar

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Proses Pilihan Raya Umum (PRU) Sarawak melibatkan beberapa peringkat penting, bermula dengan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), pengeluaran writ pilihan raya oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), penamaan calon, tempoh berkempen hingga pengundian dan pengumuman keputusan rasmi.

Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata pembubaran DUN boleh berlaku apabila tempoh penggalnya tamat secara automatik atau lebih awal melalui tindakan Yang di-Pertua Negeri.

Menurutnya, berdasarkan Perkara 21(3) Perlembagaan Negeri Sarawak, tempoh maksimum DUN ialah lima tahun yang dikira daripada tarikh persidangan pertamanya, manakala Perkara 2(2) memberikan kuasa kepada Yang di-Pertua Negeri untuk membubarkan DUN.

Selepas pembubaran, beliau berkata Speaker akan memaklumkan perkara itu secara rasmi kepada SPR beserta tarikh kuat kuasa dan dokumen berkaitan, selaras dengan amalan pentadbiran pilihan raya.

“Selepas DUN dibubarkan, SPR akan mengeluarkan writ pilihan raya kepada Pegawai Pengurus bagi setiap kawasan pilihan raya negeri.

“SPR juga akan menerbitkan notis pilihan raya dalam warta kerajaan bagi menetapkan tarikh penamaan calon dan hari pengundian,” katanya ketika menjelaskan proses pilihan raya negeri pada sidang media di Kompleks DUN Sarawak, hari ini.

Menjelaskan lebih lanjut, Asfia berkata proses berkenaan tertakluk kepada Seksyen 12 Akta Pilihan Raya 1958 serta Peraturan 3 Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Perjalanan Pilihan Raya) 1961.

Katanya, pada hari penamaan calon, semua calon perlu menyerahkan kertas penamaan masing-masing kepada Pegawai Pengurus.

“Sekiranya lebih daripada seorang calon yang layak dinamakan bagi sesuatu kawasan, pertandingan pilihan raya akan diadakan dan tempoh rasmi berkempen bermula,” katanya.

Beliau juga berkata, mengikut peraturan pilihan raya, hari penamaan calon hendaklah ditetapkan tidak kurang daripada empat hari selepas penerbitan notis pilihan raya, manakala hari mengundi perlu diadakan tidak kurang daripada 11 hari selepas hari penamaan calon.

“Ini bermakna tempoh minimum antara penamaan calon dengan hari pengundian ialah 11 hari,” katanya sambil menambah bahawa pada hari pengundian, pengundi berdaftar akan menunaikan tanggungjawab memilih wakil rakyat bagi kawasan masing-masing.

Asfia menambah, Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri Sarawak menetapkan pilihan raya umum negeri hendaklah diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh pembubaran DUN.

Katanya, selepas pengundian selesai, Pegawai Pengurus akan mengumumkan calon yang memperoleh kemenangan bagi kawasan berkenaan.

“Nama calon yang menang kemudiannya dicatatkan pada writ pilihan raya sebelum dokumen itu dikembalikan kepada SPR, manakala keputusan rasmi pilihan raya akan diterbitkan dalam warta kerajaan mengikut peruntukan undang-undang,” katanya.

Asfia berkata, selepas proses pilihan raya selesai, Yang di-Pertua Negeri mempunyai kuasa memanggil persidangan pertama DUN yang baharu.

Katanya, persidangan pertama itu ialah peringkat penting dalam pembentukan DUN selepas pilihan raya, dengan tarikh persidangan ditetapkan berdasarkan peruntukan Perlembagaan Negeri Sarawak.

Beliau turut merujuk Perkara 21(1) dan Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri Sarawak berkaitan pemanggilan persidangan DUN serta tempoh yang ditetapkan selepas pembubaran.

“Keseluruhan proses berkenaan memastikan perjalanan pilihan raya negeri dilaksanakan mengikut tatacara dan tempoh yang ditetapkan oleh undang-undang,” katanya.

BERITA LAIN

Moratorium hukuman mati dikaji, kekal atau ditamatkan

KUCHING: Kerajaan Persekutuan sedang mengkaji keperluan mengekalkan atau menamatkan moratorium pelaksanaan hukuman mati yang berkuat kuasa sejak 2018. Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Pembangunan) Bahagian

BERITA TERBARU

Moratorium hukuman mati dikaji, kekal atau ditamatkan

KUCHING: Kerajaan Persekutuan sedang mengkaji keperluan mengekalkan atau menamatkan moratorium pelaksanaan hukuman mati yang berkuat kuasa sejak 2018. Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Pembangunan) Bahagian