ARTIKEL

70 pegawai integriti Sarawak ikuti latihan antirasuah bersama IACA

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak bakal menjadi lokasi pertama di Borneo yang menganjurkan Program Kepimpinan Tadbir Urus Serantau dengan kerjasama Akademi Antirasuah Antarabangsa (IACA) yang berpangkalan di Vienna, Austria, bagi memperkukuh keupayaan pegawai integriti perkhidmatan awam negeri.

Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Integriti dan Ombudsman), Datuk Dr Juanda Jaya, berkata program selama empat hari itu berlangsung pada 2 hingga 5 November depan di sini dan bakal dirasmikan oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tin Openg.

Menurutnya, program anjuran Unit Integriti dan Ombudsman Sarawak (UNIONS), Jabatan Premier Sarawak, dengan kerjasama Sarawak Centre of Performance Excellence Sdn Bhd (SCOPE) dan IACA itu diadaptasikan daripada program utama Akademi Musim Panas Serantau (RSA).

“Program ini disesuaikan khusus mengikut konteks dan keperluan penjawat awam Sarawak dengan matlamat memperkukuh keupayaan profesional pegawai integriti dalam bidang pencegahan rasuah dan tadbir urus yang baik.

“Penganjuran ini merupakan pencapaian penting kerana ia adalah kerjasama pertama seumpamanya di Kepulauan Borneo antara UNIONS, SCOPE dan IACA,” katanya pada sidang media Program Kepimpinan Tadbir Urus Serantau Sarawak 2026 di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, seramai 70 peserta dipilih daripada lebih 200 Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) di Sarawak bagi mengikuti latihan intensif yang dikendalikan pakar antarabangsa berpengalaman dalam pembangunan kepakaran pencegahan rasuah.

Beliau berkata, penganjuran program itu di Kuching turut menjimatkan kos berbanding menghantar keseluruhan peserta ke Vienna, selain membolehkan latihan bertaraf antarabangsa dibawa terus kepada penjawat awam Sarawak.

“Biasanya program ini dilaksanakan di Vienna, Austria, tetapi kita berjaya mendapatkan persetujuan IACA untuk membawanya ke Sarawak buat julung kalinya,” jelasnya.

Tambah beliau, program berkenaan menyambung latihan CeIO yang sebelum ini mengikuti kursus di Akademi Pencegahan Rasuah Malaysia (MACA), dengan peserta bakal memperoleh pensijilan daripada IACA selepas menamatkan latihan.

“Empat bidang utama akan diberikan penekanan, iaitu kerjasama antarabangsa dalam pengukuhan integriti, inovasi pencegahan rasuah, tadbir urus serta kepimpinan beretika, selain pelaporan rasuah dan akauntabiliti.

“Dalam era digital dan kecerdasan buatan (AI), kegiatan rasuah juga semakin canggih. Sebab itu kita memerlukan perkongsian pengalaman antarabangsa untuk meningkatkan keupayaan pegawai integriti.

“Kita mahu melahirkan pegawai integriti yang profesional, berkeyakinan, berprinsip serta berani menegur kelemahan dan ketidakpatuhan berdasarkan fakta serta peraturan,” tegasnya.

Katanya, peserta turut didedahkan kepada penggunaan data raya, AI dan kajian kes antarabangsa bagi mengenal pasti risiko rasuah serta memperkukuh langkah pencegahan di jabatan dan agensi masing-masing.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata satu memorandum persefahaman (MoU) antara UNIONS dan IACA dijadual dimeterai sepanjang program itu bagi membuka ruang kerjasama jangka panjang dalam pembangunan kapasiti, pertukaran pengetahuan dan latihan profesional penjawat awam Sarawak.

“Kerjasama tersebut turut menyediakan peluang kepada CeIO Sarawak mengikuti program latihan lanjutan IACA di Vienna pada masa hadapan,” tambahnya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU

UiTM Sarawak perkukuh peranan perpustakaan

OYA: Program Oya Beramai 2026 menjadi platform Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat menerusi aktiviti pendidikan, kesukarelawanan, kesihatan dan kelestarian