OYA: Program Oya Beramai 2026 menjadi platform Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak memperkukuh hubungan dengan komuniti setempat menerusi aktiviti pendidikan, kesukarelawanan, kesihatan dan kelestarian alam sekitar.
Penyelaras Program, Khairil Bahrom Rosli berkata, program anjuran Perpustakaan Tun Abdul Razak (PTAR) UiTM Cawangan Sarawak dengan kerjasama Majlis Daerah Dalat dan Mukah (MDDM) ini bertujuan mempererat hubungan antara institusi pendidikan tinggi dengan masyarakat.

Menurutnya, program yang berlangsung di Perpustakaan Desa Oya itu turut memperluas peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu, maklumat dan pembangunan masyarakat, khususnya di kawasan luar bandar.
“Pelbagai aktiviti diadakan sepanjang program itu, termasuk senaman aerodance bersama komuniti Kampung Oya, sukan rakyat, saringan kesihatan, penanaman pokok dan penyampaian sumbangan buku.

“Turut diadakan aktiviti gotong-royong mengecat pagar utama Perpustakaan Desa Oya yang melibatkan kakitangan serta pelajar latihan industri PTAR UiTM Cawangan Sarawak.
“Aktiviti ini diadakan untuk menceriakan persekitaran perpustakaan supaya lebih bersih, kemas dan selesa untuk kegunaan masyarakat setempat,” katanya.

Selain itu, penanaman pokok turut dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap kepentingan memelihara alam sekitar serta tanggungjawab bersama dalam memastikan kelestarian untuk generasi akan datang.
Antara pengisian penting program berkenaan ialah penyerahan simbolik sistem Oya Access to Stories and Information System (OASIS) yang dibangunkan PTAR UiTM Cawangan Sarawak khusus untuk Perpustakaan Desa Oya.

“Sistem itu diserahkan kepada Pengerusi MDDM Kaunselor Aini Suhaili, bagi membantu meningkatkan kecekapan pengurusan perkhidmatan perpustakaan.
“Pembangunan OASIS ini sebahagian daripada usaha pendigitalan perkhidmatan perpustakaan bagi membolehkan pengurusan operasi dan maklumat dilaksanakan dengan lebih sistematik serta teratur.
“Diharapkan dengan adanya pelaksanaan sistem ini, ia dapat memudahkan urusan perkhidmatan perpustakaan, sekali gus meningkatkan kemudahan akses kepada maklumat untuk masyarakat setempat,” jelasnya.
Penyampaian sumbangan buku semasa program itu juga mencerminkan komitmen PTAR UiTM Cawangan Sarawak dalam menggalakkan budaya membaca dan pembelajaran sepanjang hayat.
Sumbangan berkenaan diharap dapat memperkaya koleksi bahan bacaan Perpustakaan Desa Oya serta menggalakkan masyarakat memanfaatkan kemudahan perpustakaan sebagai sumber ilmu.
Pada masa yang sama, penganjuran Oya Beramai 2026 turut memperlihatkan kepentingan kerjasama antara institusi pendidikan tinggi, pihak berkuasa tempatan dan komuniti dalam melaksanakan program yang memberikan manfaat secara langsung kepada masyarakat.
Justeru, melalui pendekatan itu, kepakaran dan sumber universiti dapat dimanfaatkan untuk menyokong pembangunan komuniti, di samping memperkukuh peranan institusi pendidikan tinggi dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakat.






