SAMALAJU: Bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di Samalaju, Sarawak mencecah 152 yang menandakan tahap tidak sihat setakat 9 pagi ini.
Sementara itu, sebanyak 44 kawasan lain di seluruh negara merekodkan bacaan pada tahap sederhana seperti dilapor Bernama.
Menurut Portal Sistem Pengurusan Indeks Pencemar Udara Malaysia (APIMS) Jabatan Alam Sekitar (JAS), Bintulu mencatat bacaan tertinggi bagi kategori sederhana, iaitu 94, diikuti Serian (90), Sibu (87) dan Batu Muda di Kuala Lumpur (84).
Selain itu, Sri Aman merekodkan bacaan 83, manakala Kluang di Johor dan Samarahan masing-masing mencatat 82.
Dalam pada itu, 23 kawasan berada pada tahap baik, dengan Tanah Merah di Kelantan tertinggi pada 49, disusuli Bandaraya Melaka (48) dan Kuala Selangor (47).






