JULAU: Ahli Parlimen Julau, Datuk Larry Sng Wei Shien, menekankan kepentingan menyediakan ruang kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) dan keluarga mereka untuk berkongsi pengalaman, mendapatkan maklumat serta meningkatkan pengetahuan mengenai penjagaan dan sokongan yang bersesuaian.
Beliau berkata demikian semasa Program Bersama Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang menghimpunkan wakil 12 PDK dari Kapit, Sibu dan Sarikei.


Menurut Larry, program itu memberi peluang kepada golongan OKU dari pusat berbeza untuk berkumpul, menyertai aktiviti bersama dan membina hubungan sosial dalam kalangan peserta.
Selain itu, program berkenaan menjadi platform kepada ibu bapa dan penjaga untuk bertukar pandangan serta berkongsi pengalaman menguruskan anak OKU, khususnya yang menghidap penyakit jarang ditemui atau memerlukan penjagaan khusus.


Beliau turut menegaskan perkongsian pengalaman sedemikian penting bagi meningkatkan pemahaman masyarakat, termasuk penduduk di kawasan kampung, terhadap cabaran yang dihadapi golongan OKU.
Melalui perkongsian tersebut, ibu bapa dan penjaga juga berpeluang mempelajari pendekatan penjagaan yang lebih sesuai mengikut keperluan individu.
Dalam pada itu, Larry menekankan kepentingan mendapatkan bantuan dan kepakaran daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Semenanjung Malaysia, terutama berkaitan penjagaan OKU serta maklumat mengenai rawatan dan ubat-ubatan yang bersesuaian.
Usaha itu diharap dapat memperluas akses keluarga kepada pengetahuan dan sokongan tambahan, selain memperkukuh jaringan kerjasama antara PDK, keluarga dan organisasi berkaitan dalam meningkatkan kesejahteraan golongan OKU.






