ARTIKEL

Jangan cepat menghukum

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

SAYA tidak tahu apakah sebenarnya yang bermain dalam fikiran pelajar yang terlibat dalam kejadian di sebuah sekolah di Kuching baru-baru ini.

Kita mungkin membaca laporan berita, melihat pelbagai komen di media sosial dan masing-masing mempunyai pandangan sendiri.

Namun, selagi siasatan belum selesai, kita tidak seharusnya membuat kesimpulan tentang punca kejadian itu.

Apa-apa yang berlaku tetap membimbangkan.

Sekolah menjadi tempat anak-anak menimba ilmu, membina keyakinan diri dan belajar menghormati orang lain, sebaliknya berlaku perkara kita tidak pernah jangka.

Apabila kejadian seperti ini berlaku, kita semua marah.

Ada yang mempersoalkan didikan ibu bapa, ada yang menyalahkan pihak sekolah dan tidak kurang juga yang menganggap remaja hari ini semakin sukar dikawal.

Tidak adil untuk menyalahkan satu pihak sahaja, sebaliknya lebih elok kita salahkan diri sendiri sebagai orang dewasa.

Tanyalah satu soalan yang lebih penting adakah kita benar-benar memahami anak-anak yang sedang membesar di depan mata kita?

Saya sendiri pun sering keliru dengan emosi anak-anak yang meningkat remaja.

Malah dalam banyak perkara, saya mengalah apabila sepatutnya saya berasa memang wajar untuk saya mengalah dan berfikir, apakah saya harus berasa menang walaupun menghiris emosi anak?

Menjadi ibu bapa tidak semuanya benar dan menjadi anak, tidak semuanya tidak benar.

Sesetengah anak cuma mahu meluahkan masalahnya kepada orang lain yang dipercayainya walaupun kita sebagai ibu bapa dekat dengan mereka hampir 24 jam sehari.

Saya bukan mahu mempertahankan perbuatan ganas.

Apa-apa pun masalah yang dihadapi manusia, mencederakan orang lain bukanlah jalan penyelesaiannya.

Kita hidup dalam zaman yang serba pantas.

Ibu bapa keluar bekerja, anak-anak pula ke sekolah.

Masing-masing mengejar tanggungjawab dan urusan sendiri.

Apabila pulang ke rumah, ada yang masih sibuk dengan kerja, ada yang perlu menguruskan hal keluarga dan ada yang terlalu penat untuk berbual panjang.

Namun dalam banyak perkara berkaitan anak, dalam hal-hal persekolahan misalnya, ibulah yang paling banyak terlibat.

Saya tidak tahu orang lain.

Sepanjang kedua-dua anak saya

di sekolah rendah dan menengah, sayalah orang yang hadir perjumpaan muafakat, mesyuarat PIBG dan menghantar serta mengambil mereka dari sekolah.

Sesekali bapanya ambil dan hantar ke sekolah, namun bukan bermakna bapa mereka tidak wujud.

Ini kerana saya suka melakukannya dan berasa itu memang tanggungjawab ibu.

Bapa pula cuma mengeluarkan wang perbelanjaan, wang persekolahan, buku, tuisyen dan berkaitan.

Dan, untuk memastikan pelajaran, disiplin dan pembelajaran termasuk emosi anak-anak di sekolah pula, ia menjadi tanggungjawab bersama.

Bukan cuma ibu atau hanya bapa.

Kedua-duanya harus tahu perkembangan anak.

Akhirnya, perbualan dengan anak cuma berkisar tentang perkara yang sama.

Sudah makan?

Kerja sekolah sudah siap?

Esok ada peperiksaan?

Mengapa keputusan tidak bagus?

Bagaimana kawan A, kawan B?

Bagaimana guru kelas, guru sekolah?

Ada kawan barukah?

Atau, adakah ada orang cuba membuli?

Semua itu penting.

Soalan-soalan itu biasanya kita akan tanya sebaik sahaja anak masuk ke dalam kereta di depan pagar sekolah.

Kemudian kami, ibu-ibu ini akan belanja anak makan makanan kegemaran mereka sebelum balik ke rumah.

Momen ini segmennya ringkas, namun itulah yang setiap ibu lakukan sejak anak masuk tadika sehingga sekurang-kurangkannya anak mereka tamat Sijil Pelajaran Malaysia sebelum masuk universiti.

Bukan sekadar bertanya sambil lalu tetapi benar-benar berhenti seketika untuk mendengar jawapannya.

Anak-anak tidak semestinya akan memberitahu apabila mereka menghadapi masalah.

Ada yang mudah bercerita tetapi ada juga yang memilih untuk berdiam diri.

Ada yang menunjukkan perubahan tingkah laku, cepat marah,

menjauhkan diri atau hilang minat terhadap perkara yang biasanya mereka suka.

Kita tidak boleh menganggap setiap perubahan itu sebagai tanda anak akan melakukan keganasan.

Namun, perubahan yang ketara dan berpanjangan harus diberi perhatian.

Kadangkala, anak memerlukan seseorang yang boleh mendengar tanpa terus menghukum atau membandingkannya dengan orang lain.

Kita juga tidak boleh terus menyalahkan telefon pintar atau media sosial setiap kali remaja melakukan sesuatu yang mengejutkan.

Teknologi mungkin mempengaruhi cara anak-anak berkomunikasi, melihat dunia dan mengurus emosi tetapi setiap kejadian mempunyai konteksnya sendiri.

Kita perlu mengetahui fakta sebelum menentukan puncanya.

Yang lebih penting ialah mengajar anak bahawa marah itu perasaan yang manusiawi tetapi keganasan bukan cara untuk menyelesaikan masalah.

Mereka perlu tahu bagaimana meluahkan rasa kecewa, meminta bantuan dan berundur daripada situasi yang boleh mencetuskan pergaduhan.

Jika mereka melakukan kesalahan, mereka juga perlu belajar bertanggungjawab terhadap tindakan sendiri.

Kita tidak mahu anak-anak membesar dalam keadaan takut untuk meluahkan perasaan.

Tetapi kita juga tidak mahu mereka membesar dengan anggapan kemarahan memberi mereka hak untuk menyakiti orang lain.

Dalam mengajar anak mengurus perasaan, sesekali kita bertanya kepada diri sendiri, adakah kita sudah menjadi tempat yang selesa untuk mereka bercerita?

Mungkin sudah tiba masanya kita melihat semula cara kita mendidik anak pada zaman ChatGPT. Contoh terdekat ialah pengalaman seorang sahabat saya yang juga seorang ibu.

Anak daranya suka berbual dengan ChatGPT, termasuk bertanya tentang soal hati seperti macam mana hendak tahu dia suka saya?

Mengapa dia tiba-tiba dingin atau lambat membalas mesej?

Sahabat saya mengetahui perkara itu selepas melihat sejarah perbualan dalam akaun ChatGPT yang digunakan secara bersama oleh keluarganya.

Mungkin anaknya terlupa memadam rekod perbualan tersebut.

Namun, di sebalik penemuan itu, ada perkara yang lebih membimbangkan apabila anaknya memilih untuk membawa persoalan peribadi kepada ChatGPT sedangkan ibunya sendiri mungkin tidak pernah mendengar cerita itu.

Jangan sampai kita hanya mahu mengetahui apa-apa yang berlaku kepada anak selepas timbul masalah besar.

Jangan sampai kita hanya mula berbincang tentang tekanan emosi remaja selepas seseorang menjadi mangsa.

Dan jangan pula kita melupakan guru yang setiap hari berusaha mendidik anak-anak kita.

Tolong jangan salahkan guru setiap kali ada musibah di sekolah.

Mereka juga manusia yang mempunyai keluarga, perasaan dan hak untuk bekerja dalam keadaan selamat.

Kita mungkin tidak mampu menghalang setiap masalah daripada berlaku.

Namun kita boleh berusaha membina persekitaran yang membolehkan anak-anak meminta pertolongan sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

Kerana mendidik anak bukan sekadar memastikan mereka berjaya dalam pelajaran, namun kita mahu mereka membesar menjadi manusia yang tahu mengawal diri, menghormati orang lain dan bertanggungjawab terhadap perbuatan sendiri.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU