ARTIKEL

Buku sejarah baharu angkat peranan komuniti Kantonis di Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Pencapaian dan sumbangan tokoh masyarakat Kantonis dalam pembangunan ekonomi, pendidikan serta kepimpinan masyarakat Sarawak sejak zaman awal kini diabadikan menerusi buku sejarah baharu, iaitu Prominent Cantonese Leaders of Sarawak hasil penulisan Dr Hing-Yan Lee.

Timbalan Premier merangkap Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Amar Dr. Sim Kui Hian menyifatkan buku itu sebagai “satu bab penting dalam warisan sejarah Sarawak”.

“Kita berharap penerbitan itu juga dapat meningkatkan minat terhadap sejarah Sarawak yang kaya serta mendorong penyelidikan lanjut mengenai individu dan komuniti yang dedikasi, mereka menyumbang kepada pembinaan negeri ini,” katanya menerusi kenyataan.

Buku bertajuk Prominent Cantonese Leaders of Sarawak hasil penulisan Dr Hing-Yan Lee.

Dalam pada itu, Lee memaklumkan bahawa buku berkenaan mengetengahkan kehidupan dan pencapaian tokoh perintis masyarakat Kantonis yang kepimpinan, semangat keusahawanan dan ketabahan mereka menyumbang dengan ketara kepada pembangunan Sarawak pada peringkat awal.

Katanya, walaupun masyarakat Kantonis bukan kumpulan dialek terbesar dalam kalangan penduduk Cina di Sarawak, mereka melahirkan ramai individu terkemuka yang meninggalkan kesan berkekalan dalam bidang perdagangan, pendidikan, kepimpinan masyarakat dan kehidupan awam.

“Menerusi sumbangan mereka, golongan perintis ini membantu membentuk landskap sosial dan ekonomi Sarawak merentasi beberapa generasi,” ujarnya.

Berdasarkan penyelidikan meluas dan sumber sejarah, Lee mendokumentasikan kehidupan serta sumbangan tokoh Kantonis terkemuka sejak zaman awal penempatan masyarakat Cina, era pemerintahan Brooke, pemerintahan kolonial British hingga peralihan ke arah Sarawak moden.

Antara individu yang diketengahkan ialah perintis awal seperti Lau Chek, Teng Kung Suk dan Kong Yik Khing; pemimpin masyarakat serta Kapitan Cina seperti Chan Chak dan Lee Weng Thong; selain tokoh terkemuka dalam bidang perniagaan, perkhidmatan awam dan politik termasuk Khan Ah Chong, Lam Tee Chew, Wong Cheong Way dan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan.

Sehubungan itu, Lee memberitahu, kisah tokoh berkenaan merangkumi tempoh perubahan besar, termasuk penghijrahan dan pembentukan penempatan, pembangunan ekonomi, penubuhan institusi masyarakat, kesukaran ketika perang serta transformasi politik.

“Secara keseluruhan, kisah tersebut memperlihatkan bagaimana individu daripada sebuah komuniti Cina mampu memberikan sumbangan yang melangkaui lingkungan masyarakat mereka sendiri,” jelasnya.

Beliau memaklumkan, buku Prominent Cantonese Leaders of Sarawak bukan sekadar himpunan biografi, tetapi meneroka perkembangan sejarah yang lebih luas serta jaringan masyarakat yang membentuk pembangunan Sarawak.

Menurutnya, ia juga menghimpunkan kisah individu yang pencapaian mereka sebelum ini hanya direkodkan secara berasingan dalam dokumen sejarah, arkib keluarga dan penerbitan masyarakat.

“Dengan mendokumentasikan kehidupan dan sumbangan mereka, buku ini membantu memelihara sebahagian penting warisan masyarakat berbilang budaya Sarawak serta menyediakan asas untuk penyelidikan lanjut.

“Pengalaman mereka turut menjelaskan kisah lebih luas mengenai penghijrahan, penyesuaian diri dan pembinaan komuniti dalam masyarakat yang mengalami perubahan sosial dan ekonomi yang ketara,” tegasnya.

Lee, anak kelahiran Kuching yang bekerja dalam bidang teknologi maklumat di Singapura, mempunyai minat mendalam terhadap sejarah perintis masyarakat Cina dan kepimpinan komuniti.

Karya sejarah terdahulunya turut meneroka kehidupan serta sumbangan tokoh Cina terkemuka di Sarawak.

Penerbitan itu disasarkan kepada pelbagai lapisan pembaca, termasuk keturunan tokoh yang diketengahkan, ahli sejarah, penyelidik, pendidik serta orang ramai yang berminat terhadap sejarah dan warisan masyarakat berbilang budaya Sarawak.

Buku setebal 136 halaman itu diterbitkan pada 1 Oktober 2026 dan akan mula dijual di kedai buku terpilih pada 30 Oktober ini.

BERITA LAIN

Projek ART Modenkan Sistem Pengangkutan Awam Sarawak

KUCHING: Pembangunan projek Transit Aliran Autonomi (ART) merupakan pelaburan bagi memastikan pergerakan rakyat lebih lancar, bukannya pembaziran wang, kata Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri

BERITA TERBARU