KUCHING: Kerajaan Persekutuan sedang mengkaji keperluan mengekalkan atau menamatkan moratorium pelaksanaan hukuman mati yang berkuat kuasa sejak 2018.
Timbalan Ketua Pengarah (Dasar dan Pembangunan) Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Punitha Silivarajoo berkata, kajian itu antara dua isu utama yang diberi perhatian dalam usaha menambah baik sistem perundangan negara.
“Satu lagi isu melibatkan cadangan pindaan Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001 berkaitan tempoh penahanan kanak-kanak yang didapati bersalah melakukan kesalahan membunuh.

“Di bawah peruntukan semasa, kanak-kanak yang melakukan kesalahan berkenaan tidak boleh dijatuhi hukuman mati, sebaliknya boleh ditahan tanpa tempoh tertentu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi, di Astana Negeri Sarawak, di sini, hari ini.
Cadangan pindaan tersebut bertujuan menetapkan tempoh penahanan selama 20 tahun, tertakluk kepada pertimbangan Lembaga Pengampunan Negeri.
Ujarnya, sesi penerangan berkaitan kedua-dua isu itu akan dilaksanakan di seluruh negara dengan melibatkan pihak berkaitan, termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri atau Yang di-Pertua Negeri mengikut kesesuaian setiap negeri.
Punitha memberitahu kunjungan yang turut melibatkan Jabatan Penjara Malaysia itu bertujuan memaklumkan perkembangan terkini berhubung kajian moratorium pelaksanaan hukuman mati serta cadangan pindaan Akta Kanak-Kanak 2001.
Tambahnya, pertemuan itu turut menjadi platform memberikan penerangan mengenai kedua-dua isu perundangan berkenaan kepada Tun Wan Junaidi.






