ARTIKEL

Hubungan erat PBT, wakil rakyat perlu terus diperkukuh

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Hubungan erat antara pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan wakil rakyat perlu terus diperkukuh untuk memastikan pembangunan rakyat khususnya di Kota Samarahan dapat terus dicapai secara menyeluruh.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Rodiyah Sapiee berkata, beliau sangat menghargai usaha dan inisiatif Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS) dalam mentadbir urus kawasan yang semakin pesat membangun tersebut.

“Peranan MPKS sebagai pemudah cara dan pelaksana dasar di peringkat tempatan adalah amat penting dalam memastikan perkhidmatan kepada rakyat berjalan lancar, teratur dan responsif akan keperluan semasa.

“Saya percaya melalui kerjasama berterusan antara pejabat saya selaku wakil rakyat dengan MPKS sebagai pentadbir kawasan, kita mampu menyelesaikan pelbagai isu rakyat secara lebih efektif termasuk kebersihan, penyelenggaraan infrastruktur, kemudahan awam, perancangan bandar serta kelestarian alam sekitar,” katanya.

Abang Ismawi (tiga kanan) menyerahkan cenderahati kepada Rodiyah (tiga kiri) dan turut disaksikan tetamu kehormat yang lain.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan hormat delegasi MPKS di Pusat Khidmat Rakyat P200 Batang Sadong, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kunjungan hormat seperti ini amat bermakna kerana ia bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara PBT dengan wakil rakyat, malah membuka ruang perbincangan strategik untuk kebaikan dan pembangunan kawasan ini secara keseluruhannya.

“Daerah kecil Sadong Jaya juga adalah di bawah pentadbiran MPKS, dan saya amat menghargai segala usaha serta inisiatif MPKS dalam mentadbir urus kawasan yang semakin pesat membangun ini.

“Saya berharap kunjungan ini akan memperkukuh jalinan kerjasama dan saling menyokong antara satu sama yang lain demi kemajuan kawasan Kota Samarahan yang lebih mampan dan inklusif,” tegasnya.

Delegasi MPKS diketuai oleh Pengerusinya, Kr Abang Ismawi Abang Ali dan turut diiringi oleh Timbalan Pengerusi, Kr Daily Joseph; Setiausaha Perbandaran, Gustian Durani; serta Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perlesenan MPKS, Kr Jamil Harbi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU