MATU: Paras air yang meningkat di sebahagian besar kawasan di daerah ini susulan hujan lebat berterusan sejak beberapa hari lalu menyebabkan beberapa kampung dinaiki air sekali gus menjejaskan pergerakan penduduk.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daro, Balai Bomba dan Penyelamat Daro PBT II Hasman Bakar berkata, pemantauan yang dijalankan mendapati hampir keseluruhan kawasan di daerah Matu dilimpahi air, namun keadaan setakat ini masih terkawal.


Menurut beliau, antara kawasan yang terjejas ialah Kampung Jemoreng selain Sekaan Besar, Bertong, Kampung Sok dan Bawang yang mencatatkan kenaikan paras air secara berperingkat.
Katanya, sebahagian besar jalan di dalam kampung tidak dapat dilalui kenderaan berikutan paras air yang semakin meningkat sekali gus memaksa penduduk meletakkan kenderaan di bahu jalan utama sebagai langkah keselamatan.
“Paras air di beberapa jalan kampung direkodkan pada ketinggian kira-kira 0.6 meter dan keadaan ini menyukarkan pergerakan penduduk terutamanya ketika waktu puncak,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, pihak bomba sentiasa menjalankan rondaan berkala bagi memantau keadaan semasa serta berada dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya situasi menjadi lebih buruk.


“Setakat rondaan dijalankan, tiada sebarang laporan kecemasan atau permohonan bantuan diterima daripada penduduk,” katanya.
Dalam pada itu, Hasman menasihatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa serta mengelakkan daripada meredah kawasan banjir yang boleh mengundang bahaya.
Beliau turut mengingatkan penduduk agar mengutamakan keselamatan ahli keluarga khususnya kanak-kanak dan warga emas serta segera menghubungi pihak bomba sekiranya berlaku sebarang kecemasan.




