Hukuman setimpal untuk pemandu mabuk

KHAMIS lalu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong dalam sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu 2020 Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) di Putrajaya, memberitahu Kerajaan akan meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenakan hukuman lebih berat bagi kesalahan memandu secara berbahaya dan di bawah pengaruh alkohol sehingga menyebabkan kematian.  Pindaan undang-undang itu membabitkan denda yang lebih tinggi, termasuk hukuman penjara sehingga 20 tahun terhadap pemandu mabuk.

Lebih awal, pada sidang media 29 Januari lalu, Menteri Pengangkutan Anthony Loke memaklumkan Akta Pengangkutan Jalan 1987 akan dipinda untuk mengenakan hukuman lebih berat dan setimpal kepada mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

Cadangan itu dipersetujui jemaah menteri dan akan dibincangkan bersama dengan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (MIROS). Ia dijangka dibentangkan di Parlimen pada sesi Jun atau Julai ini.

Secara prinsipnya, penggubalan akta tersebut dilihat amat bertepatan kerana pihak yang bertanggungjawab menyebabkan kematian perlu menerima hukuman setimpal.

Imej Kredit BNC

Pada masa ini pesalah jalan raya yang memandu secara berbahaya dan di bawah pengaruh alkohol dikenakan hukuman di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM20,000.

Akta sedia ada dilihat tidak mencukupi dan pihak yang bertanggungjawab mengakibatkan kematian perlu menerima hukuman yang lebih berat. Bagaimanapun, kerajaan perlu mengambil kira pelbagai faktor sebelum menggubal undang-undang baharu ini dalam usaha mengekang isu pemandu mabuk yang terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Ini kerana hukuman berat seperti denda melibatkan ratusan ribu ringgit atau penjara dalam tempoh yang lama bukan penyelesaian terbaik. Apa yang penting, impak hukuman yang dikenakan dan undang-undang mestilah setimpal dengan kesalahan.

Sekiranya, pesalah tidak mampu bayar denda yang dikenakan, pesalah akan dihantar ke penjara yang pastinya menimbulkan kesukaran kepada keluarga pesalah. Mungkinkah mengenakan penalti atau menggantung lesen memandu yang didapati bersalah memandu dalam keadaan mabuk antara pendekatan terbaik sepertimana dipraktikkan negara seperti Australia dan England?

Lesen memandu pesalah wajar digantung dalam tempoh yang lebih lama, malah mereka juga wajar diwajibkan masuk ke dalam kelas atau pusat pemulihan. Bagi kesalahan melibatkan kematian pula, ia mestilah setimpal dengan keadaan dan keperluan. Bagi penulis, mabuk adalah pilihan sendiri setiap individu. Berani buat, beranilah tanggung akibatnya.

Suara Sarawak