KUCHING: Persatuan India Kuching (IAK) berkongsi kegembiraan Deepavali dengan menghulurkan bantuan barangan runcit asas dan wang tunai kepada 62 penerima tahun ini sempena Program Amal Deepavali IAK.
Selain persatuan tersebut, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat turut menyumbang bantuan seumpamanya bagi meringankan beban golongan sasar semasa sambutan perayaan tersebut.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata melalui program amal yang bermakna itu diharap dapat meringankan beban yang dipikul golongan yang memerlukan.
“Bukan itu sahaja, kita juga berharap agar program ini dapat mengeratkan lagi hubungan antara masyarakat di Sarawak.
“Justeru, kita mahu lebih ramai keluarga diraikan dan lebih banyak badan bukan kerajaan (NGO) tampil membantu dan menghulurkan bantuan yang diperlukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program yang diadakan di dewan IAK di Jalan Rock di sini, hari ini.
Nancy turut memuji usaha persatuan tersebut yang terus bekerja keras dan komited dalam menyediakan keperluan secara kecil-kecilan kepada golongan yang memerlukan.
“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada IAK atas usaha tersebut. Inilah yang perlu diamalkan di Malaysia kerana kita tidak dapat menafikan hakikat bahawa masih ramai yang memerlukan bantuan terutama pada masa sukar ini,” katanya.



